Followers

Thursday 7 July 2011

8
Komen

SUAMIKU VAMPIRE bab 9 siri 2 (FINAL)


“Lidya!” Danish terkejut melihat keadaan Lidya yang tidak terurus dan pakaian yang basah. Kelihatan rambutnya yang panjang di sebalik selendang merah yang nipis itu. Cantik. Tidak berkelip matanya melihat keadaan Lidya yang basah kuyup.
            “Bos!” apabila melihat Danish di situ. Mudah sahaja air matanya mengalir. Cepat-cepat Lidya masuk semula dalam tandas perempuan. Tidak sanggup dirinya dilihat oleh lelaki ajnabi dalam keadaan yang tidak mengizinkan ini.
            “Lidya! Kenapa dengan awak? Awak okay?” soal Danish bertubi-tubi. Air mata yang mengalir, Lidya sapu.
            “Saya okay bos,” suara Lidya bergetar. Dia menahan sebak yang mula hadir dalam dirinya.
            “Awak tentu sejuk. Ambil kot saya dulu. Saya pergi panggil Salina,” katanya. Danish menanggalkan kot merahnya dan menghulurkan ke pintu tandas perempuan.
            “Ambil ni, Lidya,” kata Danish tapi tiada respon.
            “Lidya!” dia menyeru nama itu untuk kali kedua. Lidya tersedar dari khayalannya. Mengarut sahaja apa yang difikirkan.
            “Saya!” dia membuka sedikit pintu dan mengambil baju tersebut. Danish berlari pecut. Dia tidak peduli orang hendak kata apa. Yang penting dia kena cepat jumpa Salina.
            Danish menunjukkan bakatnya berlari 100 meter pecut tapi malang itu tidak berbau. Dia terlanggar pintu kaca yang merupakan pintu masuk sebelum sampai ke dewan syarikat. Kepala dan seluruh badannya bagai ditolak dari belakang dan kena pintu kaca itu.
            Sakit juga. Sampai pening-pening kepalanya. Dia gagahi untuk bangun
‘Lidya milik aku. Aku tidak akan biar dia menunggu aku lebih lama. Aku tidak akan biarkan dia ketakutan,’ kata hatinya. Dia segera berjumpa dengan Salina.
“Salina, Lidya dalam keadaan tak baik. Awak tolong tengokkan dia. Please!” rayu Danish dengan tiba-tiba.
“Eh, Danish! Kenapa ni? Cuba beritahu perlahan-lahan. Jangan panik,” tegur Erwan. Terkejut melihat sepupunya itu merayu pada isterinya. Ada perasaan cemburu. Salina perasan gerak mata suaminya dan sudah faham sangat. Itu tanda dia cemburu. ‘Kuat betul laki aku cemburu. Dengan sepupu sendiri kot!’
“Tak sempat nak cerita. Salina, awak bawa tudung tau. Awak ada tudung lebihkan?” soal Danish. Salina angguk. Dalam kereta suaminya satu tudung disimpannya. Mereka bergerak ke tandas perempuan. Danish dan Erwan tunggu di luar.
Salina masuk. Alangkah terkejutnya dia melihat keadaan sahabatnya itu. Kesejukan. Lidya terlena di suatu sudut dalam tandas itu. Dia menghampiri sahabatnya. Dikejutnya perlahan.
“Lidya oh Lidya...” seru Salina sambil mengoncangkan tubuh Lidya.
“Gempa bumi ke? Aku takut!” mengigau Lidya. Matanya masih terpejam rapat.
“Lidya!” Salina meninggikan sedikit suaranya agar Lidya tersedar.
“Arggghhhh!” Lidya terjerit. Jeritan itu dapat didengari oleh Danish dan Erwan. Danish terlalu bimbang dengan keadaan Lidya. Dia berlegar-legar di luar tandas perempuan. Erwan yang melihatnya berasa pening. Sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri.
‘Lagak Danish macam menunggu isteri nak bersalin,’ Erwan menggelengkan kepalanya. Dia tahu Danish menyukai Lidya sejak lelaki itu menempah baju khas untuk Lidya.
“Kenapa Lidya menjerit, Wan? Aku risau la?” dia menegur Erwan dan melahirkan rasa bimbangnya.
“Sabarlah. Lidya tidak apa-apa,” kata Erwan untuk menenangkan hati Danish. Danish tersenyum pahit mendengarnya.
            Sudah lama Lidya dan Salina di dalam tandas. Erwan beranikan diri bertanya.
            “Salina, Lidya sudah okay?” Erwan menjerit dari luar. “Sudah!” menjerit Salina. Erwan dan Danish tersenyum. Salina membawa Lidya keluar daripada tandas tersebut. Pintu tandas yang agak susah dibuka apabila Salina memimpin bahu Lidya. Danish ambil tindakan pantas membantu Salina membuka pintu.
            “Abang, kita kena bawa Lidya ke klinik,” kata Salina sambil matanya melihat Lidya. Sayu sahaja muka Lidya dalam pandangannya. ‘Kenapa boleh jadi seteruk ini,’ Hati Danish betul-betul bimbang.
            “Baiklah,” balas Erwan. Danish dari tadi melahirkan perasaan  bimbang pada Lidya. Erwan sudah mengesan sesuatu yang tersirat.
            Mereka berempat pergi ke klinik milik sahabat baik Danish, Doktor Aman. Danish sudah menghubunginya dan memintanya menanti di Klinik. Al-maklumlah hari Ahad kebanyakkan klinik tutup.
            “Aman,  macam mana  keadaan Lidya? Dia okay?” Danish bertanya bertalu-talu.
            “Dia okay, cuma dia mengadu sakit badan. Tadi dia ada kata tubuhnya ditolak dan kena mangkuk tandas,”
            “Macam mana pula dia jadi begitu?”
            “Itu aku tak tahulah, Dan. Yang pasti ada orang tak suka dengan dia sebab sebelum ini pun dia ada datang klinik aku. Kau masih ingat?” penuh yakin Aman berkata. Danish hanya angguk kepala.
            “Tak mengapa la. Terima kasih. Maaf ganggu kau malam-malam begini,”
            “Tak apa Dan. Sudah menjadi tanggungjawab aku sebagai doktor,” Kata Aman sambil menepuk bahu sahabatnya. Lidya  dan Salina sudah menunggu di kereta.
            Erwan memandu tenang kereta miliknya. “Kalau Lidya tak sihat, Lidya tidak payah pergi meeting esok di Genting,” Danish bersuara.
            “Bos! Saya  tak apa-apa. Saya boleh pergi. Susah payah saya siapkan dokumen untuk meeting tu. Saya akan rasa sedih kalau tidak dapat pergi meeting ini,” kata Lidya lemah.
            “Kalau itu keputusan Lidya, esok saya datang ambil awak di rumah esok,”
            “Terima kasih bos. Baiklah esok,”
            Lidya sampai juga di rumahnya. Uminya sudah naik membebel. Dia hanya tersenyum sahaja. Apa lagi yang mampu dia buat. Akhirnya selepas telan ubat tahan sakit, Lidya tertidur. Umi Kalsom selimutkan anak kesayangannya. Selepas mencium dahi Lidya, dia masuk ke biliknya.
            Telefon bimbit miliknya berbunyi. Segera dia menjawabnya.
            “Kalsom...” Umi Kalsom terkejut dengan suara yang didengarinya. Dia masih mengenali suara itu.
            “Linda Alya...” bisiknya.
            “Kalsom, boleh kita berjumpa?”
            “Baiklah, puan,”
            “Janganlah panggil saya puan. Kita bukannya orang lain. Sesama madu. Abang  apa khabar?” soalnya.
            “Abang sudah lama meninggal,” jelas Linda terkejut. Dia dapat telefon bimbit Kalsom pun daripada sahabat lamanya. Dia sememangnya tidak tahu bekas suaminya itu sudah meninggal dunia. Hampir dua puluh tahun tidak berjumpa.
            “Linda!” Panggil Umi Kalsom apabila Linda diam begitu lama dalam talian.
            “Saya masih ada ni. Lidya  bagaimana?”
            “Oh, dia tak berapa nak sihat. Linda mahu berjumpa dengan dia?”
            “Tak!” laju sahaja Linda menjawabnya. “Tidak bersedia lagi. Tak apalah Kalsom. Akak tidur dulu. Selamat malam,” selepas memberi salam, talian terputus.
            “Ada satu rahsia yang belum aku memberitahu Alya,” akhirnya umi Kalsom tertidur.
*****
‘Ada mesyuarat di Genting. Aku nak pergi Genting, seronoknya! Aku suka walaupun tempat itu tak sesuai untuk orang islam, janji niat kita yang penting. Aku suka tempat tu sebab sejuk sahaja. Suka. Suka. Suka,’ Lidya tersenyum sampai ke telinga. Gembira punya pasal.
            Segala rasa sakit  semalam memang hilang. Semangat juga Lidya pada pagi itu. Bangun awal. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Danish!
            “Assalamualaikum Lidya,”
            “Waalaikumusalam bos!” kedengaran suara ceria Lidya.
            “Awak sihat tak hari ni? Tak apa ke? Perjalanan hari ini tak jauh sangat tapi akan buat awak penat,” jelasnya.
            “Tak apa bos. Saya tak kisah. Kita pergi berdua sahaja ke, bos?” soal Lidya. Entah kenapa dia rasa gembira sangat.
            “Tak. Damia akan ikut kita. Dia akan temani awak. So,  awak ada masalah ke?” soal Danish pula. Lidya hanya gelengkan kepala. ‘Eh, mana Danish nak nampak aku geleng kepala,’ dia tersenyum.
“Tidak!”
“Lagi pun kita pergi hari isnin petang dan pulang selasa petang. Tak lama pun,” tambah Danish lagi. Dia lagi rasa gembira dapat bersama dengan Lidya.
            “Petang ini ke bos?” Lidya terkejut apabila Danish menyebut perkataan petang. Dia ingat bertolak pagi ini. Semangat betul dia bersiap.
            “Ya,” jawab ringkas Danish.
“Saya sudah lama berkemas, Bos,” jelas Lidya. Dia bimbang tidak sempat untuk berkemas dan sebab itu awal-awal lagi sudah siap berkemas.
“Okay la tu.. Awak jangan lupa minta izin umi,” Lidya tenang. Dia tersenyum. Talian ditamatkan.
            Danish mengeluh. Kesian Lidya. Siapa yang tergamak melakukan itu semua pada Lidya.
            Danish yang sedang berdiri di balkoni terpandang rumah LA yang terletak tidak jauh dari kolam renang. Segera dia turun dan menuju ke situ.
           "Meow... Meow..." LA menggeselkan badannya di kaki Danish membuatkan Danish tersenyum. Diangkat tubuh... LA dan diciumnya kucing itu dengan geram. Danish memang sukakan kucing tetapi sikap itu tidak ditunjukkan kepada umum. Jika tidak nanti jatuhlah imejnya. Danish membelai-belai badan kucing parsinya yang berbulu lembut itu.
          LA memang susah hendak dijaga pada mulanya namun ia begitu mudah bermanja dengan Danish.
Danish teringat Damia, adiknya itu. ‘Semalam tidak pasal-pasal dia buat rayuan pada papa untuk bawa dia sekali ke Genting sebab alasan aku pergi berdua dengan Lidya tak dapat aku lupakan terutama kata-kata adikku yang nakal ini,’ hatinya teringat peristiwa semalam. Selepas dia menghantar Lidya pulang. Dia juga pulang ke rumah. Dia terdengar perbualan papa dan Damia.
“Mana boleh abang Danish pergi berdua tempat macam itu. Mereka itu berdarah manis papa,” jelas Damia.
“Darah manis apa ni? Kamu ingat abang kamu tu Vampire apa darah manis ni?”
“Abang darah manis tak apa papa tapi kak Lidya tu darahnya manis sangat. Nanti vampire macam abang Danish gigit dia dan hisap darah dia macam mana papa? Malu keluarga kita!” semangat Damia memberi pendapat.
“So, conclusion?”
“Papa izinkan Mia temani mereka esok!” katanya sambil tersenggih.
“Oh, itu motif Mia! Baiklah papa setuju,’ setuju Akil dengan cadangan Damia. Mereka berdua tidak boleh berdua. Bahaya.
Danish mengeluh berat. ‘Kacau daun betul minah ni. Nak date dengan kekasih hati pun tak boleh,’ Danish tidak berpuas hati. Dia membelai LA kesayangannya. Dia tersenyum.
          "Abang!" Sergahan Damia telah memeranjatkan Danish dan akibatnya, LA yang berada di atas dukungan Danish tercampak ke dalam kolam. Di dalam kekalutan itu, sepantas kilat pula Danish terjun untuk menyelamatkan kucing kesayangannya itu.
            Terdengar kuat ketawa Damia. Gembira dapat kenakan abangnya di pagi hari.
            “Abang, kucing pandai berenang la. Buat susah-susah sahaja abang selamatkan LA,” kata Damia. Lagi kuat dia ketawa.
            “Berani betul Mia kenakan abang. Habis basah pakaian abang,” amuk Danish. Damia yang asyik ketawa tidak ingat dunia,  Danish dengan pantas menarik tangan Damia. Hal ini telah menyebabkan Damia jatuh ke dalam kolam renang tersebut.
            “Abang ni gila!” marah Damia apabila pakaian dia sudah basah. “Mia baru lepas mandi tau! Lain la abang tak mandi lagi. Berangan ingat kak Lidya!” katanya sekuat hati.
            “Bak kata orang tua, makan tak kenyang. Mandi tak basah!” tambah Damia.
            “Siapa cakap abang mandi tak basah? Skodeng abang mandi yer? Ni basah kuyup Mia buat abang,” disebabkan malu dengan kenyataan yang diberi oleh Damia. Dia mengejar Damia yang ketika itu mereka masih dalam kolam renang. Damia apa lagi, larikan dirilah. Pelbagai jenis kuak yang dia lakukan. Kuak kupu-kupu, kuak rama-rama tapi nasib baik kuak kucing tak ada. Memerli Danish hihihi.
            “Hish, budak berdua ni!” marah Datin Erni. Kekecohan di situ menarik dia datang. Mereka berdua hanya tersenyum.
            “Kita ada tamu ni. Carl datang tu. Mia, pergi bersiap,” arah Datin Erni.
            “Baiklah mama,” Damia mengikut arahan Datin Erni.
            “Hah, kamu Danish! Nak berendam dalam kolam ni sampai esok?” perli Datin Erni. Danish hanya tersenggih. Dia juga bergerak keluar dari kolam itu. Dia kurang senang dengan kehadiran sepupunya itu.
*****
            Akhirnya Lidya dan Danish bertolak. Tidak lupa pada Damia yang turut mengikut mereka berdua. Pada mulanya Danish ingin pergi menaiki kereta ferarri miliknya.  Lidya yang terkejut denga kereta ferrari yang diparking depan rumahnya seperti orang tak pernah jumpa kereta tersebut. Danish hanya ketawa. Dia senang dengan sikap Lidya yang jujur dengan dirinya. Lidya memang lain dari yang lain.
            “Abang!” sergah Damia. Hendak sahaja dia sekeh kepala Damia. Dari pagi tadi lagi sergah dia seperti itu.
            “Kenapa?” soal Danish dengan ganasnya. Marah.
            “Kak Lidya nak duduk mana?” kata Damia. Danish tersenggih. Dia tidak jadi marah.
            “Atas bumbung kereta abang,” Danish buat lawak tapi Damia tidak ketawa. Tak lawak pun. Teruk Danish kena bebel dengan Damia, adiknya sebab mereka sudah sampai di rumah Lidya. Danish cadangkan guna kereta Lidya tetapi Lidya rasa tidak selamat. Akhirnya Danish pulang ke rumahnya semula dan bawa kereta BNW milik ayahnya.
            Mereka pun bertolak petang itu. Akhirnya, mereka sampai juga di Genting. Memang ramai gila manusia di situ tapi kebanyakkan bangsa cina. Lidya mengikut langkah Danish. Tangannya tidak lepas memegang tangan Damia. Ini kali pertama dia  sampai di situ. ‘Agak ramai orang  di sini sebab cuti sekolah,’ pening kepala Lidya melihat ramai orang di situ.
Hotel yang kami menginap ialah Hotel Theme Park. Sebelah hotel tersebut banyak betul permainan yang boleh dimain. ‘Gembiranya aku, aku dah lama nak datang sini, ini baru ada kesempatan,’ Lidya berehat seketika di bilik hotelnya. Damia sudah lama diulit mimpi setelah solat Maghrib tadi. Malam itu, kami keluar bersama. Makan!
Kami hanya makan di Pizza Hut. ‘Huhu aku suka gak, orang belanja kata kan?’ Lidya tersenyum. Hujan lebat diluar, sejuk mencengkam kalbu. Apabila makan sesuatu yang panas, memang sedap.
Rupa-rupanya Damia  ikut sebab ada motif tersendiri. Dia ingin main semua permainan yang ada di situ. Bukan untuk menemani Lidya. Danish betul-betul marah tapi adiknya itu degil dan nakal. Mana hendak dengar kata orang lain.
Keesokkan harinya, mesyuarat dimulakan di sebuah bilik mesyuarat. Lidya tidak pasti bilik itu di mana. Dia hanya mengikut jejak langkah Danish sahaja. Selepas mesyuarat berjalan selama 5 jam, akhirnya muka tegang Danish tiada lagi. Pelbagai masalah yang timbul.
Selepas solat zohor, Danish terus tidur kerana kepenatan. Mukanya menjadi makin pucat. Patutlah dia digelar ‘vampire’. Apabila Lidya pulang ke bilik, Damia hilang entah ke mana. Dia terasa bosan.
Lidya mengambil keputusan untuk keluar berjalan-jalan. Ambil udara bersih. Di belakang hotel ada sebuah taman yang cantik. Lidya pergi ke sana. Hampir sejam dia di sana. Suka sangat tengok alam sekitar.
“Lidya!” seseorang menegurnya.
“Zafri!” terkejut Lidya apabila melihat Zafri juga ada disini. Katanya ada urusan kerja sikit. Kami berbual seketika mengenai zaman universiti dulu.
“Sejuk sangat ke?” soal Zafri apabila melihat Lidya menggosok-gosok tapak tangannya kerap kali. Lidya angguk kepala. Dia memang mudah rasa sejuk tapi dia sukakan sejuk. Pelik.
“Nak! Pinjam jaket I dulu,”
“Eh, tak apa la! Susah-susah sahaja,”
“Ambil la,” tiba-tiba telefon bimbit Zafri berbunyi dan dia meminta diri untuk menjawab panggilan. Dia memberi jaketnya kepada Lidya. Terpaksa Lidya mengambilnya.
“Maaf, I ada hal sikit. Ada jodoh kita berjumpa lagi,” katanya ingin berlalu.
“Nanti dulu Zafri! Jaket you?” soal Lidya. Lelaki itu hanya tersenyum dan melambaikan tangan lalu meninggalkan Lidya.
Lidya mengeluh tapi dia memakai juga.
Danish tersedar dari tidurnya. Dia menjengguk ke tingkap. Dia ternampak Lidya berseorangan di taman. Segera dia bersiap dan turun ke taman tersebut.
“Lidya!” tegur Danish. Lidya hanya tersenyum.
Danish yang berasa pelik dengan jaket yang dipakai oleh Lidya. Besar saiznya. Hatinya mula tidak keruan memikirkannya.
“Maaf Lidya, ini jaket awak ke?” Danish beranikan diri untuk bertanya.
“Bukanlah. Kawan saya punya. Terserempak dengan dia tadi,” jelas Lidya tanpa berselindung. Tiba-tiba hujan lebat. Mereka berdua berlari masuk ke hotel. Hujan lebat itu berhenti tetapi kabus tebal pula yang datang.
Mereka bertiga tidak dapat pulang hari ini. Danish sudah membuat keputusan, mereka akan pulang tengah hari esok. Seronok bukan main lagi Damia. Dia terus menghilang entah ke mana.
Lidya berasa lapar. Dia keluar bersendirian apabila Damia sudah lama keluar. Dia ternampak Zafri sedang makan berseorangan. Cepat-cepat Lidya tegur. Jumpa kawan, mesti tegur punya. Zafri tersenyum lebar apabila melihat orang yang menegurnya adalah Lidya.
Dia menjemput Lidya makan bersamanya tetapi dia tidak mahu makan di situ. Dia tidak berapa yakin makanannya. Zafri faham lalu mengajak Lidya berjalan-jalan.
Tiba-tiba Danish menghubungi Lidya.
“Awak di mana? Puas saya call,” katanya
“Maaf bos! Telefon bimbit saya dalam mood senyap. Itu yang tak perasan bos call,” jelas Lidya.
“Lidya dengan siapa ni? Jom makan KFC. Saya belanja.,” ajak Danish.
“Nak! Dengan kawan. Kami tunggu di loby hotel ye?” kata Lidya yang kebetulan berada di situ.
Segera Danish keluar dari biliknya. Dia pergi ke loby.
“Kau!” serentak mereka berdua bersuara. Danish dan Zafri. Mereka berdua adalah sepupu. Sepupu yang selalu bersaing dan bergaduh. Lidya tidak tahu mengenai itu. Dia berasa gembira dua jejaka kacak menemani dia makan. Seronok. Terbuai perasaannya.
Lidya ingin membeli cenderahati untuk uminya. Dia mengambil satu pasu kristal yang cantik pada pendapatnya.
“Sesuai tak kalau Lidya bagi pasu ni pada umi?” soal Lidya pada dua lelaki itu.
“Tak!” Danish menjawabnya
“Ya!” kata Zafri.
Mereka berdua menjawab serentak tetapi  berlainan jawapan. Mereka tidak sehaluan. Mereka berdua juga tidak bercakap bersama dari tadi. Lidya mula perasan tetapi dia tidak mahu ambil tahu itu semua. Asalkan mereka jangan bergaduh di sini sudah.
Lidya meletakkan semula pasu tersebut. Dia mengambil pula sebuah beg tangan yang berwarna hitam.
“Sesuai tak dengan umi?” soalnya lagi soalan yang sama pada mereka berdua.
“Tak!” Zafri menjawabnya
“Ya!” kata Danish.
Serentak juga mereka menjawab. Dahi Lidya sudah berkerut. ‘Pelik!’ Lidya pun meminta diri untuk ke tandas sekejap. Tinggallah mereka berdua.
“Apa hubungan kau dengan Lidya?” Danish bertanya dengan kasar.
“Aku kawan universiti dengan dia. Sudah 3 tahun. Apa yang perlu kau tahu, aku suka Lidya,” jelas Zafri dengan penuh bangga. “Kau pula?”
“Aku majikan Lidya. Baru tiga minggu tapi ku suka Lidya,” Danish berkata lemah. Dia betul-betul terasa tercabar. Walaupun dia kenal Lidya sejak di tingkatan 5 tapi biarlah ia menjadi rahsia antara dia dengan Lidya.
“Kau jangan berangan nak tackle Lidya. Aku sudah lama cakap pada dia yang aku suka dia,” jelas Zafri. Dia tidak mahu mengalah.
“Suka hati akulah kalau nak berangan,” selamba sahaja jawapan Danish tetapi bagi Zafri itu jawapan yang menyakitkan hatinya.
Zafri ingin menumbuk muka Danish tapi...
“Korang berdua,” Lidya menegur mereka berdua. Cepat-cepat Zafri menukar gayanya dan memeluk bahu Danish. Dia tidak mahu Lidya tahu yang mereka tidak sehaluan.
Danish juga berasa begitu. Dia tersenyum.
“Lapar. Jom pergi makan,” ajak Lidya. Mereka bergerak ke KFC. Danish menjeling maut pada Zafri. Menyampah dia lihat.
Zafri lebih banyak bercakap berbanding Danish. Padahal hati Danish sudah bengkak-bengkak menahan cemburu yang bermaharaja lela. Danish berasa geram dengan Lidya. Lidya cantik sangat hari ini. Sejak datang ke Genting, wajah gadis itu sentiasa ceria.
Untuk kali kedua dia geram sebab apabila Lidya keluar tidak ajak dia bersama. Dia cemburu. Kalau dengan Zafri hendak pula dia keluar. “Zafri tidak boleh rampas Lidya dari aku. Lidya milik aku!’ hati Danish tidak tenang.
Gusar hatinya melihat kemesraan Lidya dengan Danish. ‘Dengan aku tak pernah pula Lidya mahu senyum macam itu,’ hatinya sakit. Tanpa pengetahuan Lidya, papa dan mama Danish telah ke rumah Lidya hari ini. Untuk meminang Lidya. Dia sudah menghubungi Umi Kalsom, umi Lidya tentang kedatangan itu.
‘Harap-harap plan aku berjalan dengan lancar,’ bisik hatinya
“Bos, senyap sahaja dari tadi. Bos sihat?” ramah Lidya. Danish tersenyum. ‘Jom masuk rumah Salji. Sudah lama saya berangan nak masuk sana,” jelas Lidya.
“Jom, I tak kisah. Ikut ajer ke mana you pergi,” manis kata-kata Zafri. Danish memuncungkan mulutnya apabila mendengar kata-kata Zafri.
“Jom! Saya belanja!” Danish berkata. Lidya tersenyum sampai ke telinga.
Akhirnya dia dapat juga masuk rumah Salji. Pakaian yang tebal, suasana yang sejuk. Lidya sudah berangan entah ke mana. Benua kutub selatan agaknya. Zafri hanya menjadi pemerhati dari jauh. Danish sengaja mengambil kesempatan ini untuk bermesra dengan Lidya.
“Seronok ke?” tegur Danish. Lidya angguk kepala. Dia gembira sangat. Lidya menyentuh salji buatan itu. Dia pun campak salji tersebut pada Zafri yang sedang termenung. Terkejut Zafri. Kesejukkan ais itu mengenai pipinya. Lidya tersenyum gembira. Dia ketawa manis dipandangan Danish.
‘Dengan aku tak nak pula dia campak salji. Dengan Zafri yang duduk jauh itu juga menjadi pilihannya,’ cemburu hatinya melihat kemesraan Lidya dengan Zafri. Zafri musuhnya sejak kecil lagi.
Tanpa Danish sedari, perasaan Lidya begitu gementar apabila bersama Danish. Hatinya berdebar kuat bila Danish bercakap dengannya. Sejak peristiwa semalam, dia dapat rasakan ada perasaan aneh yang berada dalam hatinya untuk Danish. Sesuatu yang berbeza. Perasaan ini tiada apabila dia bersama Zafri. Sebab itu dia lebih banyak melayan Zafri supaya perasaan itu tidak mengganggu dia.
Tiba-tiba, tengah asyik berangan, Lidya terjatuh akibat licin. Serentak sahaja Danish dan Zafri menghulurkan tangan mereka. Lidya terpana. Mahu memilih siapa? Hatinya mula bertanya. Akhir sekali dia menyambut ke dua-dua tangan itu dan bangun.
“Terima kasih bos! Terima kasih Zafri,” ucap Lidya.
“Bos? Lidya, inikan waktu luar kerja. Kenapa panggil bos lagi?” Danish tidak berpuas hati. Zafri boleh pula dia panggil nama tapi tidak dengan dia.
“Sudah biasa bos!” jelasnya ringkas.
“Oh, katakanlah kita kahwin. Takkan la awak masih nak panggil saya bos?” soal Danish. Soalan Danish kali ini membuat hati Lidya bertambah debar. Lidya cuba mengawalnya dengan tersenyum.
“Yup, bos! Saya panggil bos juga!” kata Lidya membuat lawak. Dia berpaling dari terus menatap wajah Danish. Hatinya berdebar kuat.
“Lidya!” Zafri menegurnya.
“Ya, ada apa Zafri?” Lidya berasa nada Zafri lain macam. Romantik.
“Sudikah awak menjadi teman hidup semati saya?” lamar Zafri. Dia berlutut. Tiba-tiba banyak salji halus keluar. Lidya terpana. Dia dilamar dalam suasana seperti ini. Bahagianya.
Zafri mengeluarkan sekotak baldu merah. ‘Cantik!’ detik hati Lidya tatkala memandang cincin itu. Dia tergamam. Lidahnya kelu.
“Awak melamar saya,Zafri?” soal Lidya bagaikan tidak percaya. Orang ramai sekeliling mereka bersorak gembira. Bagai mengharap Lidya menerimanya. Lidya serba salah.
“Zafri... Saya......” kata Lidya tersekat-sekat. Danish tidak sanggup untuk mendengar jawapan Lidya, dia terus berlari keluar dari kawasan itu.
“Saya.......”

8 comments:

jangan lupa komen...komen anda sangat bermakna bagi ria natsumi