Khusnul Syakinah cuba
bersabar. Apa kena dengan nenek Khair ni? Nak marah-marah macam aku nak
memusnahkan rumah dia lagaknya. Ya Allah, sabarkanlah hati aku yang mungkin
akan hilang kesabarannya.
“Saya…”
Khusnul Syakinah cuba mempertahankan dia.
“Saya
apa? Kau tu orang gaji. Jangan sesekali melawan cakap aku. Aku tak suka orang
gaji duduk atas sofa mahal aku ini.”
Nenek
Ju memandang Khusnul Syakinah dan Puan Siti dengan mata yang terbeliak. Mahu
terkeluar mata tersebut jika tidak ditutup sedikit.
Ya
Allah, sombongnya orang di hadapan aku ini. Sesungguhnya Allah tidak suka
kepada orang yang sombong. Aku pernah terbaca, orang yang sombong itu akan
datang pada hari kiamat berupa orang sekecil semut diliputi oleh kehinaan dari
segala tempat. Mereka masuk neraka dan diberi minum dari thinatul khabaal, yakni darah bercampur nanah dari ahli neraka. Ya
Allah, azabnya.
Khusnul
Syakinah rasa sangat kasihan terhadap perempuan tua di hadapannya.
Puan
Siti hanya diam sahaja. Jika dia yang bercakap nanti, jadi lain. Dia tahu marah
itu tidak elok. Marah itu membuat orang itu lebih lemah.
“Puan,
saya datang ke sini bukan untuk menjadi orang gaji. Tapi kalau betul pun saya
nak jadi orang gaji, saya tak kan rela bekerja di rumah puan.” Khusnul Syakinah
berdiri. Begitu juga Puan Siti.
Khair
rasa bersalah. Apa yang berlaku ini? Janganlah Khusnul salah faham dengan semua
ini. Khair benar-benar risau. Tambahan pula melihat Khusnul Syakinah dan Nenek
Ju bergaduh.
“Grandma.
Mari Khair kenalkan. Ini Khusnul Syakinah dan ini ibunya. Dia bakal isteri
Khair.” Jujur Khair. Dia harap Nenek Ju faham dengan kehendak cucunya.
“Ini
bakal isteri Khair?”
Lagi
sekali Nenek Ju melihat ke arah Khusnul Syakinah. Dari atas sehingga ke bawah.
Tiada ciri-ciri yang layak untuk menjadi isteri cucunya.
“Ya,
grandma…” Khair meraih tangan Nenek Ju.
“Kamu
dah masuk meminang dia?” tanya Nenek Ju.
“Belum
lagi, grandma. Khair baru je melamar. Khusnul pun belum beritahu jawapannya.
Katanya nak kenal keluarga Khair dulu.” Jelas Khair.
“Khair!
Aku balik dulu la!” Khusnul Syakinah mula rasa tidak selesa.
“Eloklah
balik! Kau berdua tidak pernah diundang ke rumah aku ini. Aku harap kau tak
terima lamaran cucu aku ni. Sebab apa? Sebab kau sikit pun tak layak untuk bersama
cucu aku.” Angkuh Nenek Ju. Dia memeluk tubuh sambil merenung tajam pada
Khusnul Syakinah.
Hati
Khusnul Syakinah rasa sakit.
Khair
rasa sakit hati dengan kata-kata Nenek Ju. Selalunya Nenek Ju akan memahami apa
yang dirasainya. Kenapa kali ini tidak?
“Puan,
saya tahu saya tak layak pun untuk Khair. Tidak setaraf tapi satu sahaja saya
nak cakap. Puan jangan terlalu sombong dan angkuh dengan semua yang puan
miliki. Kalau Allah nak tarik, sekelip mata sahaja, Puan. Macam ni.” Khusnul
Syakinah memejamkan mata lalu membukanya.
Kemudian,
dia memetik jarinya.
“Pejam
mata seketika dan terus hilang harta Puan. Sebab apa, Puan sudah dipanggil oleh
Allah. Di sana nanti, semua ini tak ada. Hanya tiga perkara sahaja akan dibawa
mati. Doa anak yang soleh, amal kebaikan kita iaitu sedekah dan ilmu kebaikan
yang kita tinggalkan di atas dunia ini. Kalau tiada tiga perkara ini, sila
muhasabah diri Puan semula.”
Nada
suara Khusnul Syakinah rendah. Dia tidak mahulah di katakan kurang ajar dengan
orang tua.
Nenek
Ju tersentak.
“Ibu,
mari kita balik!” ajak Khusnul Syakinah.
Makin
lama dia di sini, makin rasa membara marahnya di dalam hati. Ingat orang hadap
sangat dengan harta kau. Ingat orang susah macam aku ni, tak ada harta.
Maaflah, kau salah. Orang susah macam aku ni, harta yang paling berharga adalah
keluarga aku sendiri yang selalu berada di sisi susah atau senang.
“Khusnul!”
Khair
rasa bersalah. Dia memang tidak menyangka yang Nenek Ju akan berada di rumah.
Dia memang silap memilih hari. Kasihan Khusnul Syakinah.
“Khair,
aku minta maaf. Aku rasa aku kena fikir banyak kali untuk bersama kau.” Luah
Khusnul Syakinah.
“Khusnul,
keluarga aku memang macam ni tapi aku yakin yang aku akan jaga kau dengan baik.
Aku janji.” Khair berusaha meyakinkan yang Khusnul Syakinah akan bahagia dengannya.
“Tidak
Khair! Perkahwinan ini bagi aku sangat suci. Jika aku berkahwin dengan lelaki
itu, maknanya aku berkahwin dengan keluarganya. Aku kena terima seadanya
keluarganya seperti mata aku terima suami seadanya. Ini bukan boleh buat main.
Ini ketentuan hidup aku di masa hadapan.”
Panjang
lebar penerangannya tetapi Khair langsung tidak ambil peduli dengan
kata-katanya.
“Khusnul,
jangan macam ini. Aku dah berusaha untuk memiliki kau. Janganlah macam ni.”
Rayu Khair.
“Hey,
perempuan! Kau buat apa pada cucu aku ni? Sehingga dia sanggup merayu pada kau.
Kau dah sihir cucu aku ke? Perempuan tak guna!”
Tiba-tiba
Nenek Ju muncul dengan wajah yang sangat marah. Dia tidak akan senang-senang
biarkan Khusnul Syakinah memperendahkan darjatnya.
“Sihir?
Banyak kerja lain yang lebih berfaedah daripada menyihir orang. Tadi sombong,
ini memfitnah pula.” Geram Khusnul Syakinah.
“Khair,
tolong bantu nenek kau ni. Aku takut sangat kalau dia tidak sempat insaf.
Menyesal kemudian hari tiada gunanya. Mari ibu!”
Ajak
Khusnul Syakinah apabila Puan Siti sudah menahan teksi yang lalu depan banglo
Khair.
“Khusnul!”
Panggil Khair.
Pecah
terus ingatan Khusnul Syakinah pada peristiwa di rumah Khair. Dia rasa berbelah
bagi sama ada masih mahu berkawan dengan Khair atau tidak. Dia tidak mungkin
akan menerima Khair kerana dia rasa itu bukan dunianya. Dunianya hanya
sederhana sahaja. Mahu hidup dalam ketenangan.
“Aku
dah nak balik ni.” Khusnul Syakinah berkata.
“Aku
hantar kau balik?” soal Khair.
Dia
dapat rasakan kedinginan dalam layanan dan perbualan Khusnul Syakinah padanya.
Mungkinkah kerana peristiwa di rumahnya tempoh hari.
Selepas
Puan Siti dan Khusnul Syakinah pulang.
“Apa
yang Grandma buat ni? Malukan Khair sahaja!” Dia agak marah.
“Perempuan
tu tak guna. Kurang ajar. Macam tu nak jadi menantu dalam keluarga ini. Kalau
mama dan papa Khair tahu, musnah hidup perempuan tu.” Nenek Ju ingatkan Khair.
“Khair
tidak akan benarkan papa dan mama tahu. Untuk pengetahuan grandma, Khair mogok
dengan grandma.”
Khair
terus berlari masuk ke biliknya. Dia geram pada Nenek Ju. Pada masa yang sama,
dia takut Khusnul Syakinah diapa-apakan oleh papa dan mamanya. Apa yang harus
aku lakukan?
“Tak
apa, Khair. Aku boleh naik bas macam biasa.” Tolak Khusnul Syakinah. Makin
gelisah dia berdiri berdua bersama Khair. Tambah-tambah petang-petang seperti
ini.
“Tak
apa. Aku hantar ye?” Khair memujuk lagi.
“Tak
apa…”
Khusnul
Syakinah mula melangkah ke perhentian bas. Dia bernasib baik sebab ketika dia
sampai di perhentian bas, bas pun tiba. “Khair, aku balik dulu.”
Tidak
sempat Khair mahu berkata apa-apa Khusnul Syakinah sudah naik bas yang sesak
dengan manusia itu. Tidak mungkin dia akan naik kenderaan tersebut.
Khusnul
Syakinah, kau akan jadi milik aku. Tetap akan jadi walaupun terpaksa aku
gunakan cara halus…
Iqram
yang melihat dari jauh mula rasa lega. Suka melihat Khusnul Syakinah tidak
melayan Khair.
Padam
muka kau. Kau ingat Khusnul suka kau? Tak mungkin la. Sebab dia dah jatuh hati
dengan sikap aku yang romantik ni.
Dia
mahu berjumpa dengan Khusnul Syakinah di kawasan perumahan gadis itu tetapi
telefonnya berbunyi.
“Assalamualaikum,
angah.”
“Waalaikumusalam
mama. Kenapa ni?” soalnya cemas. Puan Shima tidak pernah pula menghubungi waktu
petang seperti ini. Ada apa-apa yang berlaku ke?
“Boleh
angah balik sekarang tak, mama nak masak tapi kunyit tak ada. Boleh belikan
mama serbuk kunyit?” pinta Puan Shima. Biasanya anaknya akan makan di rumah.
Dia baru sahaja mahu membuat ayam goreng tetapi serbuk kunyit habis.
“Baiklah
mama…”
Talian
ditamatkan.
Khusnul
Syakinah, kita jumpa esok. Kau nanti sahaja aku datang.
Iqram
mahu ke kedai membeli kunyit tetapi dia mengambil keputusan untuk ke kedai
berhampiran rumah Khusnul Syakinah. Dia yakin yang Khusnul Syakinah selalu ke
kedai tersebut.
Dia
masuk ke kedai runcit tersebut.
“Kunyit…
Kunyit… Kunyit…”
Sebut
Iqram. Matanya meliar mencari sebuk kunyit Adabi. “Mana kau ni kunyit? Mama aku
nak masak ayam goreng ni. Tunjukkan diri kau!”
Iqram
bercakap seorang diri.
Tiba-tiba
ada serbuk kunyit depan matanya.
“Khusnul!”
Terkejut Iqram. Dia memang tidak menyangka yang Khusnul Syakinah akan ambilkan
dia kunyit.
“Tak
payah nak terkejut sangat. Nak serbuk kunyit. Kalau kau seru banyak kali pun
memang dia tak kan datang. Jadi aku hulurkan untuk kau.” kata Khusnul Syakinah.
Khusnul
Syakinah singgah ke kedai runcit ini untuk membeli sabun mandi. Dia guna sabun
susu kambing Shurah.
Iqram
nampak sabun tersebut. Patutlah bau wangi. Itulah ciptaan Allah. Walaupun
kambing tu bau busuk tapi susu dia tu wangi. Apa aku mengarut ni?
“Terima
kasih.” Ucap Iqram. “Saja aku nak seru. Mana la tau dia betul-betul datang
depan mata aku.” Iqram ketawa kecil. Dia rasa lucu dengan kata-kata sendiri.
Khusnul
Syakinah terus berlalu pergi.
Kali
ini Iqram pulang ke rumah dengan perasaan gembira. Gembira dapat bercakap
dengan Khusnul Syakinah walaupun seketika sahaja.
“Mama,
ini serbuk kunyitnya…”
“Pandai
angah beli…”
Puji
Puan Shima. Dia tahu sangat sikap anaknya yang tidak suka pergi membeli barang
sebab tak reti memilih. Kalau tidak dua tiga jam, mesti tak sah. Mujur beli
telefon untuk Khusnul Syakinah tidak mengambil masa yang lama. Kalau tidak, tak
tutup kedai tu tunggu Iqram membuat pilihan.
“Janganlah
sindir angah, mama. Malulah!” Iqram duduk di kerusi ruang dapur. Dia mengambil
garpu dan makan buah epal yang dipotong oleh Puan Shima.
“Ala,
macam la mama tak kenal anak mama. Pilih barang sama lama dengan buat barang.
Aduh!”
Puan
Shima menepuk dahi. Dahsyat sangat perangai anaknya itu.
“Mama
ni, sampai tepuk dahi. Sabarlah mama…”
Akhirnya
dua beranak ketawa gembira.
KHUSNUL SYAKINAH menuju ke kedai runcit yang
tidak berapa jauh dari rumah. Hanya berjalan dalam sepuluh minit sahaja, dia
sudah sampai. Puan Siti memintanya membeli beberapa barang dapur yang sudah
habis.
Rupa
aku je tiap-tiap hari datang kedai runcit ni. Semalam dah datang. Hari ni pun
sama. Tak apa. Dah nak beli barang. Dia tersenyum.
“Khusnul
Syakinah…” panggil Iqram.
Selepas
sarapan, dia terus ke sini. Semasa dia melalui jalan ke rumah Khusnul Syakinah,
dia ternampak gadis itu berjalan sendirian sambil tersenyum. Apa yang
diingatinya dia sendiri tidak tahu. Dia rasa cemburu pada orang yang berjaya
membuat Khusnul Syakinah tersenyum.
Khusnul
Syakinah tersenyum lebar apabila teringat akan kakak tirinya, Saidah yang sudah
banyak berubah. Kini, kakaknya itu dipinang oleh seorang ustaz. Dah jodoh. Dulu
aku pernah berdoa yang aku juga mahu dijodohkan dengan lelaki yang kuat agama
tetapi masih tidak berjumpa. Hanya lelaki ini sahaja…
Wajah
Iqram di lihat dengan pandangan mata yang sangat sayu. Sedih melihat lelaki
yang terkejar-kejar dirinya. Entah apa yang ada dalam dirinya sehingga lelaki
itu begitu sukakan dirinya.
“Assalamualaikum…”
kata Khusnul Syakinah. Dia terusan berjalan tanpa pedulikan Iqram. Dia sempat
menjeling lelaki itu yang turun dari kereta dan mengejarnya.
“Waalaikumusalam.
Aku ada perkara nak cakap dengan kau.” Iqram rasa hatinya berdebar. Memang dulu
hanya dendam cinta ada dalam hatinya tetapi melihat Khusnul Syakinah yang tidak
pernah melayan lelaki lain seperti yang dikatakan oleh Amar membuatkan
perasaaan cinta itu ada untuk Khusnul Syakinah.
“Apa
dia?”
Khusnul
Syakinah mula rasa tidak selesa. Lelaki itu makin mendekatinya. Apa hal
berjalan dekat-dekat dengan aku ni? Dia mula membebel dalam hati dan
mempercepatkan langkahnya.
“Macam
mana aku nak cakap, kau jalan laju sangat.” Iqram mengeluh melihat Khusnul
Syakinah yang berjalan seperti mahu mengajaknya berlumba. Laju betul berjalan.
“Okey…”
Khusnul
Syakinah perlahankan langkahnya.
“Sebenarnya
aku nak tanya, kenapa kau tak terima pemberian aku?” Iqram memandang wajah
Khusnul Syakinah. Langkah gadis itu terhenti.
“Pemberian
apa ni?” Khusnul Syakinah sedikit keliru. Ada ke dia beri apa-apa?
“Telefon
ni!”
Iqram
tunjuk telefon pintar yang dibelinya khas untuk Khusnul Syakinah. Kalau Khusnul
Syakinah tak ambil, sia-sia aku keluar malam buta semata-mata mahu belikan
untuknya. Ini yang aku panas ni!
“Aku
nak tanya, kau beli telefon ni guna duit siapa?”
Khusnul
Syakinah bertanya. Ingat aku ni nak sangat ke telefon tu? Harta orang, aku tak
terliur la. Tak hadap pun.
“Aku
beli guna duit aku la. Kau dah kenapa tanya soalan macam ni.”
Iqram
rasa pelik dengan pertanyaan Khusnul Syakinah. Mestilah guna duit aku. Tak kan
guna duit jiran sebelah rumah aku pula.
“Jadi,
itu kau punyalah. Bukan aku.”
Khusnul
Syakinah berkata sambil menyambung langkah yang terhenti seketika tadi. Malas
mahu melayan calon suami ke duanya ini. Banyak sangat songeh.
“Memang
aku yang beli tapi aku bagi kau. Aku nak nombor telefon kau.” kata Iqram.
Langkah
Khusnul Syakinah terhenti kembali. Dia memandang wajah Iqram yang kelihatan
serius.
Iqram
nak nombor telefon aku? Buat apa? Penting sangat ke nombor telefon aku ni.
Kejap! Kejap! Kenapa nak bagi telefon sedangkan aku dah ada telefon aku
sendiri?
“Boleh
tak?”
Iqram
bertanya lagi apabila melihat Khusnul Syakinah tidak memberi sebarang tindak
balas. Tak akan aku minta nombor telefon dia nak terkejut macam ni?
“Aku
kan dah ada telefon, buat apa nak bagi telefon lagi.”
Dahi
Khusnul Syakinah berkerut. Telefon cikai aku tu masih berfungsi elok je. Tak
pernah rosak pula.
“Aku
tak pernah tengok pun kau guna telefon…” Iqram garu kepala.
“Aku
ada la!”
Khusnul
Syakinah keluarkan telefon bimbit dari poket baju kurungnya. Telefon paling
murah yang dibeli dengan gaji pertamanya itu Nokia cikai. Nombor sirinya aku
dah lupa. Yang penting, telefon ni boleh jawab panggilan dan balas mesej orang.
Walaupun harganya rm60 sahaja.
Tersentak
Iqram melihat telefon tersebut. Masih ada lagi ke orang nak guna telefon macam
ni? Dia tidak puas hati dengan cara Khusnul Syakinah menunjukkan telefonnya.
“Kau
ni tak ada cita rasa ke? Belilah yang elok sikit.” Iqram rasa geram.
“Sedapnya
hati kau mengutuk cita rasa aku… Suka hati aku la. Kau ingat semua orang mampu
macam kau. Boleh beli apa sahaja. Syukurlah ada orang jual telefon bimbit
dengan harga rm60. Kalau tak, sampai sekarang aku tak ada telefon tau!”
Giliran
Khusnul Syakinah pula rasa geram.
Sesedap
hati dia kutuk harta aku. Ini harta pertama aku miliki tau. Kalau kau kutuk
lagi, aku buat smackdown untuk kau.
Padan muka! Bisik hati Khusnul Syakinah.
“Okey.
Aku minta maaf ye.”
Khusnul
Syakinah merenung wajah Iqram yang meminta maaf. Mencari sinar keikhlasan.
“Okey,
aku maafkan.”
Khusnul
Syakinah berjalan semula. Bilalah aku boleh sampai kedai. Jalan sikit berhenti.
Jalan sikit berhenti. Dia mengeluh.
MAAF LAMBAT SAMBUNG CERITA INI...SEBENARNYA MINI NOVEL INI YANG BERMUKA SURAT 250 INI AKAN DIHANTAR KE PENERBIT UNTUK DINILAI....DOAKAN YANG TERBAIK UNTUK CERITA NI... I UPDATE SAMPAI BAB 15 SAHAJA YE...SEBAB DIA ADA 20 BAB SAHAJA HIHIHIHI SEMOGA TERHIBUR MEMBACANYA....