Followers

Tuesday 25 August 2015

4
Komen

CALONN SUAMI KE DUA bab 8


Bab 8
Khusnul Syakinah tersengih. Dia yakin yang Khair terkejut dengan apa yang dilihatnya. Mata yang terbeliak itu sudah menggambarkan segala perasaan Khair. Bas yang selalu dia naik memang padat dengan manusia. Pelbagai kaum pula tu. Paling ramai pendatang tanpa izin. Tak usah nak cakap la sebab semua orang tahu siapa mereka kan.
 “Cepat Khair naik sekali…” panggil Khusnul Syakinah apabila Khair seperti tidak mahu naik bersamanya.
Belum sempat Khair melangkah ke arah Khusnul Syakinah, bas tersebut sudah bergerak meninggalkannya. Dia rasa menyesal tidak segera naik seperti Khusnul Syakinah yang terus naik bas sebaik sahaja bas tersebut berhenti.
Khusnul Syakinah tersenyum. Selamat. Pasti selepas ini Khair tak nak teman aku dah. Mesti fobia nak naik bas lagi…
Sejak Khair dan mamat sengal tu bergaduh dekat hospital hari tu, aku rasa segan sangat nak kawan dengan khair. Dulu aku masih boleh bergurau senda dengan dia tetapi sekarang, aku rasa janggal sangat. Aku rasa aku ni teruk.
Dia hanya melihat Khair ditinggalkan melalui cermin tingkap. Dia memerhati sekelilingnya pula. Apabila bas penuh, terpaksa dia berdiri di satu tempat sambil tangan memegang tempat pemegang  dalam bas tersebut.
Tiba-tiba bas menekan brek dengan mengejut membuatkan tubuhnya hampir sahaja tercampak ke hadapan. Jika tiada orang yang memaut pinggangnya pasti dia… Mimik muka Khusnul Syakinah berubah.
Kalau tak, aku dah terpeluk si bangla yang ada depan aku ni. Ya Allah! Tapi siapa pula yang peluk pinggang aku ni? Dia menelan air liur. Entah-entah bangla juga. Oh tidak!
“Sayang tak apa-apa?” soal lelaki itu. Tiada tanda mahu melepaskan pinggang Khusnul Syakinah.
Khusnul Syakinah memandang lelaki yang dikatakan penyelamatnya itu dengan mata yang tidak berkelip. Lelaki ini? Mamat ni? Ada kat sini? Dalam bas yang sesak dengan orang ni? Biar betul! Cepat-cepat dia tersedar. Sedar yang dia sudah melampaui batas. Pantas dia berpaut pada tiang dalam bas tersebut.
Suasana menjadi kecoh kerana bas tersebut brek mengejut. Rupa-rupanya seekor kucing melintas sebentar tadi.
“Tak ucap terima kasih pun.” Iqram berkata apabila Khusnul Syakinah diam sahaja. Dia sudah naik bas ini dari perhentian bas sebelum ini. Jadi dia akan bertemu dengan Khusnul Syakinah dengan cara ini.
Dia mengambil masa beberapa hari untuk mencari arah hidupnya yang sebenar. Adakah Khusnul Syakinah langsung tidak bermaknanya baginya? Adakah dendam atau lebih kepada cemburu dengan apa yang berlaku dulu. Dulu dia sangat mencintai Khusnul Syakinah. Sangat! Sehingga kesalahan kecil itu, dia menghukum Khusnul Syakinah.
Aku kena fikir dan fikir. Apa yang aku nak pada Khusnul Syakinah? Apa yang aku mahu dari dia? Aku cuma nak dia jadi isteri aku. Menjaga aku. Menjadi ibu kepada anak-anak aku. Itu sahaja. Kalau itu yang aku mahu, aku patut mengejarnya. Mengejar sehingga aku berjaya memilikinya. Aku yakin yang dia jodoh aku.
Sudah beberapa tahun aku kekalkan dalam setiap doa aku. Aku doakan Khusnul Syakinah adalah jodohku. Aku yakin Allah mendengar doaku.
Jadi, kehadiran aku sekarang ini untuk merebut semula Khusnul. Walaupun dia sudah katakan yang dia akan berkahwin dengan Khair. Aku tidak peduli! Aku tetap akan berusaha. Dendam yang aku tanam selama ini hanyalah satu perasaan yang aku sendiri baru faham sekarang. Perasaan rindu yang amat pada gadis bernama Khusnul Syakinah.
Aku mahu bersama dia. Aku mahu dia menemani sepanjang hayat aku. Itu sahaja yang aku mohon. Hari ini, aku akan pastikan Khusnul nampak usaha dan cinta aku padanya.
Sebentar tadi, sebelum bas ini berhenti, dia dapat melihat Khusnul Syakinah bersama Khair. Sakitnya hatinya. Macam kena cakar dengan kucing. Sakit ke kena cakar dengan kucing? Lemah betul aku ni… Cakaran kucing pun sakit ke?
Tapi memang sakitlah hati aku tengok mamat perasan baik tu. Rasa macam nak cekik-cekik. Jangan kacau Khusnul la. Dia kena jadi milik aku la!
Hampir ketawanya pecah melihat Khair terkejut dengan keadaan bas yang sesak dengan manusia. Dulu, aku dah biasa naik bas masa pergi sekolah. Jadi, dah biasa bau yang tak wangi langsung ni. Bukan sahaja itu, malah makin senak perutnya menahan ketawa apabila melihat wajah masam Khair yang tertinggal bas. Dapatlah dia bersama Khusnul Syakinah.
Tersentak Khusnul Syakinah mendengar. Ibu aku selalu mengajar aku untuk mengucap terima kasih pada orang yang membantu kita. Walaupun bantuan itu sebesar kuman pun, ucapan terima kasih harus dikatakan. Di ucap dengan rasa ikhlas. Tetapi… Orang yang selamatkan dirinya ini adalah musuh! Musuh yang paling dia benci.
Penyelamatnya itu adalah orang yang memusnahkan hidupnya.
Iqram masih sabar menanti kata-kata Khusnul Syakinah tetapi masih senyap. Gadis itu hanya tundukkan wajah sahaja. Tak boleh jadi ni.
Aku datang jumpa kau, nak pastikan kau tak bersama dengan Khair tu. Tapi bila aku dah jumpa kau ni, aku jadi tamak. Aku nak dengar suara kau pula. Ish! Apa dah jadi dengan aku ni? Aku kan sedang marah pada dia! Tapi macam aku tengah sayang dia pula.
Arghh! Khusnul, aku tak mampu marah pada kau lama-lama. Tolonglah! Tolong bercakap dengan aku. Aku rindu kau…
Iqram menggaru kepalanya dengan kasar. Gaya seperti orang baru nak gila.
Terkebil-kebil mata Khusnul Syakinah melihat gaya baru Iqram itu. Dia nak gila ke kalau aku tak ucap terima kasih? Dia mula rasa bimbang. Aku tak nak orang jadi gila disebabkan aku. Tak nak! Tak pasal-pasal aku dipersalahkan. Tak nak!
“Terima kasih! Terima kasih selamatkan aku dari jatuh! Terima kasih!” Pantas Khusnul Syakinah berkata. Bimbang sangat jika Iqram jadi gila.
Iqram tersenyum. Hatinya tenang mendengar ucapan itu. Ini yang aku nak dengar sangat. Hatinya gembira. Gembira sangat.
“Kasih sayang, abang terima jika sayang kahwin dengan abang!” Sengaja Iqram berkata begitu. Mahu membuat gadis itu marah. Dia tahu gadis itu tak suka bercakap mengenai kahwin.
“Sebelum aku jawab soalan kau, lebih baik kau ubah bahasa kau tu kepada mood biasa.” Tegas Khusnul Syakinah.
“Mood biasa? Inilah mood biasa abang cakap dengan sayang. Dulu lagi.” Senyum Iqram. Dia tahu hati Khusnul Syakinah pasti berdebar.
“Kau nak aku cakap dengan kau atau tak?” Makin tegas Khusnul Syakinah. Dia meminta Iqram membuat pilihan.
“Okey! Okey! Fine! Kau nak kahwin dengan aku tak?” soal Iqram dengan mood kasar. Puas hati kau, Khusnul!
Khusnul Syakinah tersenyum. Berjaya juga dia buat Iqram ubah fikiran.
Tersentak Iqram melihat senyuman. Ya Allah! Aku rindu dengan senyuman itu. Rindu sangat.
“Tak nak aku! Tak kahiwn dengan kau pun tak apa!” Khusnul Syakinah terus membelakangi Iqram. Sekejap lagi perhentian bas rumahnya akan tiba. Cepatlah bas bergerak.
“Kau ingat, kau boleh lepas dari aku. Aku akan pastikan kau akan pilih calon suami ke dua ini sebagai teman hidup kau. Aku yakin. Jumpa lagi ye…” bisik Iqram tepat di tepi telinganya.
Pantas Khusnul Syakinah berjalan sebaik sahaja bas berhenti. Dia perlu segera meninggalkan Iqram. Kata-kata itu membuat dia rasa menyampah. Sejak sekolah lagi dia tidak suka Iqram kerana lelaki itu suka memaksanya. Dia tak suka!
Sebaik sahaja tiba di rumah, dia mengunci pintu cepat-cepat. Manalah dia tak berjalan laju, Iqram juga turun di situ tetapi duduk di perhentian bas.
Dia tidak mahu ingat perbualan singkat mereka sebentar tadi tetapi peristiwa itu terus mengganggu dia. Betul ke kata-kata Iqram? Dia tak tipu aku? Betul ke ni? Kenapa baru sekarang dia beritahu aku? Kenapa?
Peristiwa itu berputar dalam fikirannya.
“Khusnul!” panggil Iqram lalu turun dari bas tersebut.
Langkah Khusnul Syakinah terhenti. Dia tidak berpaling pula untuk melihat Iqram. Dia takut. Kakinya tidak kuat untuk berdiri lebih lama.
“Aku ada benda nak cakap dengan kau…” Iqram berkata lagi apabila Khusnul Syakinah memilih untuk terus mendiamkan diri.
“Apa dia?”
Khusnul Syakinah berhenti melangkah. Jika dia memberi peluang pada Iqram untuk bercakap dan lelaki itu janji tidak mengganggunya lagi. Apa salahnya dia dengar kan? Okey. Harap-harap macam tu.
“Aku akan cakap apa yang sebenarnya terjadi masa kau kat bilik rawatan dulu. Aku akan beritahu hal sebenar asalkan kau kahwin dengan aku. Kahwin dengan aku!” Tanpa sedar Iqram seperti merayu pada Khusnul Syakinah untuk berkahwin dengannya.
Tersentak Khusnul Syakinah. Soal masa silam yang ingin dilupakan itu ditimbulkan oleh Iqram semula. Ya Allah! Kuatkan hatiku.
Tanpa sebarang patah, Khusnul Syakinah terus meninggalkan Iqram di situ.
“Betul ke dia akan beritahu? Hanya dia aje yang ada masa tu. Hanya dia tahu apa yang terjadi.” Pening kepala Khusnul Syakinah memikirkannya. Selepas solat isyak, dia terus berbaring atas katil. Rasa penat bekerja pula hari ini.
“Sya, tak nak makan ke?”
Puan Siti memanggil Khusnul Syakinah. Dia rasa pelik kerana anak tirinya terus berkurung dalam bilik selepas pulang dari tempat kerja.
“Ibu dah nak makan ke?”
Soal Khusnul Syakinah kembali. Aku dah terlalu banyak memikirkan soal itu. Lebih baik aku lupakan seketika.
“Ya, Sya. Marilah makan dengan ibu!”
Ajak Puan Siti. Dia tidak suka makan seorang diri. Rasa macam tak ada anak. Saidah di pusat pemuliharaan. Khairul pula masih dalam praktikal. Tinggal bersama rakan-rakan kerjanya. Jadi, hanya Khusnul Syakinah yang ada untuk menemaninya.
“Kejap! Sya keluar.” Khusnul Syakinah segera keluar dari bilik untuk menemani Puan Siti makan. Dia masih tiada selera mahu makan.


IQRAM termenung dalam biliknya. Merenung jauh masa depannya. Betul ke tindakan aku mahu berkahwin dengan Khusnul? Perempuan tu pun bukan suka aku pun. Tapi… Dapat melihat muka kalutnya membuat hati aku gembira. Semudah ini ke aku lupakan kecurangannya dengan lelaki itu.
Rupanya Iqram masih memikirkan hati dan perasaannya.
“Kejap! Kejap! Mana lelaki tu pergi? Tak pernah nampak. Aku ingat dia kahwin dengan lelaki tu ke?”
Dia terus berbaring atas katil pula. Nak call dia? Dia ada ke telefon? Kenapa dia ni miskin sangat? Orang sekarang, kerja tukang sapu pun boleh beli telefon. Tapi minah ni… Ish! Aku pun tak faham la…
“Apa kata aku beli telefon untuk dia? Okey juga…” Dia melihat jam di dinding, pukul sembilan malam. “Sempat lagi ni!”
Segera dia bangun semula. Bersiap-siap mahu pergi ke kedai telefon. Masih buka kedai telefon rasanya. Dia tersenyum. Esok dia sendiri akan memberikannya kepada Khusnul Syakinah.
Kling! Kling! Kling!
Jam penggera di telefon pintarnya berbunyi. Dia segera bangun. Dah subuh ni! Cepat bangun Iqram, kau ada misi yang nak dijalankan pagi ini.
Dia tersenyum. Kau tunggu aku, Khusnul Syakinah!
Dari jauh, Iqram sudha nampak Khusnul Syakinah yang sedang menutup pintu pagar. Mahu ke tempat kerja la tu.
“Selamat pagi!” ucap Iqram.
Khusnul Syakinah terkejut dengan kehadiran Iqram di awal pagi di depan rumahnya dengan muka penuh kegembiraan. Dia dah nak kahwin ke? Ceria benar wajahnya. Kalau betul. Aku sujud syukur sekarang juga.
“Assalamualaikum dan selamat pagi.” Dia terus berjalan menuju ke perhentian bas.
“Waalaikumusalam…” Iqram menggaru kepalanya yang tidak gatal itu. Salah pula. Itulah kau, Iqram. Tak penyabar sangat. Kan dah termalu.
“Kau nak apa ni?” soal Khusnul Syakinah.
Sikit pun dia tidak memandang Iqram. Hatinya berdebar sejak semalam apabila teringat akan Iqram. Adakah lelaki ni dah sihir aku ke? Minta dijauhi.
“Aku nak bagi ni…” Iqram menghulurkan sesuatu.
“Apa ni?”
Berkerut dahi Khusnul Syakinah. Tiba-tiba bagi aku benda. Takut aku nak ambil. Nak tengok pun takut. Takut dia bagi yang bukan-bukan.
“Ini namanya telefon. Ish! Tu pun tak tahu ke?” geram Iqram.
Buat muka berkerut pula. Tak kan telefon pun kau tak tahu. Rasanya kau hidup zaman yang sama dengan aku je.
Khusnul Syakinah baru sedar itu telefon. Cepat-cepat dia ubah air mukanya dan bersikap lebih tenang.
“Aku tahulah telefon. Tapi telefon siapa?” tanya Khusnul Syakinah. Nasib baik boleh cover. Kalau tak, habis kena bahan nanti.
“Aku beli untuk kau…”
Iqram terus terang dengan niatnya yang sebenar. Dia mahu Khusnul Syakinah menggunakan telefon pintar tersebut.
“Motif?”
Dahi Khusnul Syakinah makin berkerut. Untuk apa dia beli telefon ni untuk aku? Aku jeling juga telefon tu. Hullamak! Macam telefon Lee Min Ho. Telefon kegemaran aku. Pandai kau goda aku kan? Jangan tergoda Khusnul Syakinah. Sabar. Ingat! Itu bukan kau punya.
“Motifnya…”
Iqram buntu. Dia terlupa mahu memikirkan sebab dia memberi telefon tersebut. Tak kan aku nak cakap yang aku bagi telefon ni sebab senang untuk aku hubunginya.
“Apa?”
Khusnul Syakinah masih setia menunggu. Matanya menjeling telefon pintar yang amat diidamkan itu. Tetapi untuk menerimanya mungkin tidak. Dia tidak layak.
“Aku nak buat amal. Kau kan tak ada telefon.”
“Amal? Kau ingat aku miskin sangat sampai kau kena keluarkan duit untuk beli ini semua. Aku masih mampu la.” Marah benar Khusnul Syakinah dengan kata-kata Iqram. Amal kebendanya. Nak menghina aku la tu.
“Jadi, kau ada telefon?”
“Semestinya aku ada telefon…” Panjang nada suara Khusnul Syakinah. Dia ingin menyambung lagi ayatnya tetapi Iqram terlebih dahulu memotongnya.
“Bagi aku nombor telefon kau.” Pantas Iqram berkata. Dia tidak sabar untuk menghubungi Khusnul Syakinah. Boleh gayut!
“Apa?”
Khusnul Syakinah rasa makin pelik. Tiba-tiba minta nombor telefon. Lelaki ini apa hal? Nak call aku untuk sakitkan hati aku ke? Memang tak la aku nak bagi kau. Tapi telefon tu… Dia menjeling lagi. Hatinya terpaut pada telefon pintar tersebut.
“Aku nak nombor telefon kau. Aku nak ajak kau datang rumah aku hujung minggu ni. Jumpa dengan bakal mak mertua kau.” Idea spontan hadir dalam kepalanya. Lantaklah! Janji aku nak nombor telefonnya.
“Jangan harap!” Khusnul Syakinah sudah berdiri di tepi perhentian bas. Sekejap lagi mungkin bas akan tiba.
“Kau tahu tak apa kelemahan kau?” soal Iqram
Ya Allah! Apasal tiba-tiba cerita tentang kelemahan pula. Janganlah dia ungkit fasal kisah lalu. Aku tak nak dengar. Hatinya berdebar hebat.

Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini…
0
Komen

CALON SUAMI KE DUA bab 7

Salam...ingatkan nak update semalam tapi tak sempat sebab tengok pelajar saya buat latihan pembarisan untuk hari sukan. so, meh kita sambung baca bab tujuh pula...



Bab 7
Khabar berita ada orang melamar Khusnul Syakinah terus tersebar ke pendengaran Puan Siti. Dia menjadi makin aneh. Memang dia akui yang Khusnul Syakinah banyak membantu keluarganya sejak suaminya meninggal dunia. Membenci anak tirinya itu? Mungkin tiada tetapi egonya tiap kali berhadapan dengan Khusnul Syakinah. Dia tidak dapat berlagak baik dengan anak itu.
“Hari itu, Sya baru kena lamar dengan Khair tetapi dah ada lelaki lain pula melamarnya? Dia guna ilmu apa ni? Ilmu penunduk ke? Sekarang dah ada dua calon suami.”
Puan Siti buntu memikirkannya. Anak aku, Saidah tu, tak ada pula yang nak buat menantu ke? Tak ada harapan langsung anak aku tu. Buat hal dan memalukan aku, ada la. Geramnya.
“Ibu!”
Saidah pulang ke rumah.
Panjang umur betul anak aku ni. Baru aje aku sebut nama dia, dah muncul depan rumah aku. Mesti balik nak minta duit. Dia ingat aku kerja sampai ada duit? Semua ini harapnya dengan duit gaji Sya sahaja. Puan Siti merenung tajam anak perempuannya.
“Aku ingat… Kau dah tak ingat nak balik rumah buruk ni.”
Sinis Puan Siti. Dia memang tak suka dengan perangai anaknya yang suka sangat bersosial. Tak ingat agama langsung. Beza sungguh dengan Khusnul Syakinah yang sentiasa menutup aurat. Katanya…
“Aurat itu bukan kadar di jasad. Aurat itu juga di nurani dan akal fikir. Jika kita menutup aurat, insya-Allah akan dilindungi-Nya.”
Itulah nasihat yang pernah Khusnul Syakinah berikan kepada Saidah tetapi apa yang gadis itu dapat, hanya tamparan yang hebat oleh anaknya sendiri. Dia sendiri tidak dapat menasihati Saidah tetapi Khusnul Syakinah berani kerana benar.
“Ibu ni, Saidah pun anak ibu kan?”
Suara Saidah yang kuat itu membuatkan ingatan Puan Siti pada kenangan lalu berterbangan.
“Memang kau anak aku. Kau balik ni, kenapa?” Kalau ikutkan perut ibu mengandung, aku tak mengaku Saidah ni anak aku. Tapi hakikat itu tidak mungkin akan berubah. Dia tetap anak yang aku kandung. Aku lahirkan.
“Ibu, nak duit!” Tinggi nada suara Saidah.
Ketika itu, Khusnul Syakinah baru pulang dari tempat kerja. Terkejut melihat kepulangan Saidah. Pakaian kakak tirinya tidak pernah berubah. Mesti skirt pendek dan baju ketat. Kulitnya yang gebu dan cantik itu diperlihatkan kepada orang yang tidak sepatutnya.
“Kau tak payah nak tengok aku macam tu! Aku cucuk mata kau nanti!”
Geram Saidah. Dia tahulah Khusnul Syakinah alim tapi jangan tarik dia untuk pakai macam dia. Dia tak nak.
Pantas Khusnul Syakinah tundukkan wajahnya. Dia berdiri di belakang Puan Siti. Walaupun dia tahu Puan Siti tidak menyukainya tetapi ibunya itu tidak akan memarahinya tanpa sebab.
“Kalau kau balik nak minta duit, bukan kat sini! Aku tak ada duit!”
Puan Siti tidak memang wajah Saidah. Anak itu harapannya semasa kecil. Segala permintaan anaknya itu akan ditunaikan. Tidak pernah dia rasa ada yang kurang berbanding dengan Khusnul Syakinah. Anak tirinya sering di sisihkan sedangkan dia hanya meminta satu perkara. Kasih sayang. Khusnul Syakinah tak nak duit. Dia mahu kasih sayang sahaja. Betapa murni hati anak itu.
Yang aku puji lebih-lebih anak madu aku ni, dah kenapa? Menyampah pula Puan Siti rasa.
“Aku nak duit juga! Aku nak duit!” Saidah bercakap dengan nada lagi kuat dari tadi. Kemahuannya harus dituruti.
“Aku tak ada duit!”
Puan Siti pula membalas dengan jeritan. Dia sudah tidak tahan dengan sikap dan perangai anaknya yang sudah tidak boleh dikawal lagi.
“Aku tahu! Mesti ada dalam bilik ibu.”
Segera Saidah menuju ke bilik Puan Siti. Dia menyelongkar semua tempat. Dia mahu beli dadah. Dia sudah ketagih benda yang tidak baik itu.
“Hentikan Saidah! Ibu cakap, tak ada. Memang tak ada!” rayu Puan Siti. Tidak sanggup dia melihat biliknya disepahkan oleh Saidah.
“Kalau macam tu, jual rumah pusaka nenek ni!” Saidah di luar kawalan lagi.
Air mata Puan Siti mengalir. Sedih melihat anaknya itu. Mereka hanya tinggal di rumah pusaka arwah emaknya sahaja. Rumah ini satu-satunya harta yang dia ada.
“Tidak! Aku tak kan jual!” Suara Puan Siti kembali tegas. Mendengar perkataan jual membuat marahnya membara. Saidah benar-benar melampau.
“Peduli apa aku!”
Saidah mencari geran tanah pula. Dia yakin ada di laci ini. Akhirnya dia jumpa. Puan Siti terperanjat melihat geran tanah ada di tangan Saidah segera menghampiri anaknya itu. Mereka berdua bergelut.
“Bagi aku!”
Khusnul Syakinah tidak tahu mahu buat apa. Dia hanya memerhati sahaja. Sedang bergelut, tiba-tiba beg tangan Saidah tercampak ke atas lantai. Bersepah barang-barang Saidah.
“Apa ni” Puan Siti terkejut. Apa yang dia nampak jarum suntikan. Terus jantungnya berdegup lebih kencang.
“Kau hisap dadah? Kau nak beli dadah rupanya. Anak bertuah!” Tangan Puan Siri terus melayang tepat ke pipi Saidah.
Pang!
“Ibu, sabar!” Khusnul Syakinah terpaksa campur tangan. Dia memeluk tubuh Puan Siti dari belakang.
Saidah terduduk di lantai. Pipinya terasa perit. Tamparan Puan Siti memang menyakitkan. Dia tidak akan kembali ke sini lagi. Dia akan tinggalkan rumah ini. Dia akan pergi jauh. Ibu dah tak sayang aku!
“Kau bukan anak aku lagi. Kau keluar dari rumah aku! Keluar sekarang!”
Arah Puan Siti. Dadanya rasa sakit. Sakit dengan sikap anaknya. Dia akui yang didikan agama dia ambil mudah apabila melibatkan Saidah. Dia sering kali berkata ‘Nanti Saidah besar, pandailah dia agama’. Tidak! Didikan aku salah. Didikan agama perlu diterap sejak kecil lagi. Sejak dalam rahim aku lagi. Aku lupa semua itu.
“Sabar ibu…” pujuk Khusnul Syakinah.
“Kau diam Sya! Kau je harapan aku sekarang ni! Kau jangan nak buat masalah. Kakak kau ni tak boleh diharap lagi.”
Marah Puan Siti. Betul! Hanya Khusnul Syakinah yang boleh dia harapkan dan anak lelakinya, Khairul. Tetapi Khairul masih muda. Belajar pun tidak habis lagi.
“Ibu, Sya tak kan diam. Selagi Sya bernyawa, Sya akan tolong kak Saidah untuk berubah.” Tegas Khusnul Syakinah.
Puan Siti terdiam.
Air mata Saidah mengalir. Tulus hati Khusnul Syakinah. Dia rasa malu sangat. Sebenarnya dia teringin sangat mahu berubah tetapi apabila melihat tindakan keluarga kawan-kawannya yang menghalau mereka apabila mengetahui perkara sebenar membuat dia takut. Dia tidak yakin. Dia tidak mahu berubah. Dia perlukan sokongan iaitu sokongan keluarganya sendiri.
Puan Siti memandang Saidah dengan hati yang sayu. Dia juga rasa sedih dengan perubahan Saidah yang sanggup kurang ajar padanya.
“Ibu, memang kak Saidah banyak buat salah. Kalau bukan kita yang bantu, siapa lagi ibu…”
Khusnul Syakinah menahan getaran suaranya. Dia tidak akan membiarkan saudaranya sendiri terus lalai dalam dunia ni.
Jika aku mahu masuk syurga, aku juga mahu keluargaku turut masuk syurga. Tidak akan aku tinggalkan mereka tergapai seorang diri. Aku sedar diri aku bukan baik sangat tetapi jika kita hidup dengan rasa ikhlas dengan semua perkara, insya-Allah. Pencipta kita akan bantu kita. Mungkin bukan sekarang. Tidak di dunia, mungkin di akhirat.
“Saidah…”
Puan Siti memeluk anak perempuannya. Mengalir lagi deras air matanya.
“Ibu, Saidah nak berubah. Saidah nak jadi macam Sya. Ibu bantulah Saidah! Bantu Saidah ibu!” rayu Saidah. Barulah dia ada kekuatan untuk meluahkan segala yang terbuku di hati. Dia yakin yang Khusnul Syakinah akan membantu dirinya.
“Ibu akan bantu! Ibu akan sokong anak ibu.”
Khusnul Syakinah berdiri. Berdiri dari jauh dengan air mata yang mengalir. Dibiarkan sahaja air mata itu terus mengalir.
Kalau ibu sudi peluk aku begitu, pasti aku juga akan tenang dengan segala masalah yang menimpa aku. Aku rindukan pelukan seorang ibu. Aku hanya anak yatim piatu. Tiada tempat mengadu kecuali Allah yang Satu.
“Terima kasih ibu…”
Makin erat pelukan Puan Saidah mendengar kata-kata anaknya. Khusnul Syakinah sudah menyedarkan anaknya. Apabila dia memandang Khusnul Syakinah, gadis itu sudah mahu berlalu pergi. Kasihan Sya.
“Sya….” Panggil Puan Siti. “Terima kasih Sya…” ucapnya. Dia menarik Khusnul Syakinah dalam pelukannya. Dua anaknya di peluk erat. Dua anaknya! Dua anak perempuannya. Tiada beza mereka berdua. Mereka tetap anaknya.
“Ibu!”
Bersungguh-sungguh Khusnul Syakinah menangis. Inilah! Inilah kasih sayang yang paling aku dambakan atas dunia ni. Kasih sayang seorang ibu. Aku rindukannya, Ya Allah. Terima kasih Ya Allah. Atas kurnia-Mu. Makin deras air matanya mengalir.
Saidah di hantar ke pusat pemulihan di sebuah tempat. Dia ditinggalkan di situ untuk belajar agama dan motivasikan diri untuk terus hidup atas jalan yang betul.
Dari jauh, Puan Siti melihat Saidah menangis. Berat hatinya mahu meninggalkan Saidah di situ tapi apa kan daya, anaknya itu perlu berada di situ untuk perubahan yang lebih baik. Dia tersenyum dalam tangis.
Teksi yang dinaiki mereka berdua terus memandu meninggalkan pusat pemulihan tersebut.
Khusnul Syakinah pun rasa berat hati. Dia berdoa …
Semoga akak Saidah berubah menjadi seorang Muslimah yang baik dan beriman. Amin. Dia tersenyum.
“Tak payah kau nak tersenyum. Aku dah bincang dengan Saidah, kau kena kahwin,” kata Puan Siti dengan tiba-tiba.
Kata-kata itu seperti mencekik leher Khusnul Syakinah. Kenapa soal kahwin pula yang timbul ni? Aku tak faham la. Ibu dah kenapa ni? Sihat tak?
“Kenapa ibu? Kahwin?”
“Jangan pura-pura tak tahu. Calon suami kau yang pertama tu, Khair namanya, asyik kacau aku je. Tak larat aku nak layan. Calon suami kau yang ke dua ni, aku tak kenal sangat. Suruh dia datang jumpa aku. Aku nak tengok lelaki mana yang sesuai dengan anak aku ni.” Puan Siti memandang Khusnul Syakinah dengan senyuman yang ikhlas.
Anak aku? Entah mengapa hati Khusnul Syakinah rasa sejuk mendengar kata-kata Puan Siti. Ibu dah boleh terima aku sebagai anak dia ke? Betul ke ni?
“Sya tak nak kahwin lagi la ibu.” Bantah Khusnul Syakinah. Dia benar-benar tidak bersedia untuk berkahwin. Melayan suami? Itu yang paling dia menggerunkan. Tambahan pula, dengan kes traumanya bersama Iqram. Makin gila dia rasa.
“Dah ada orang melamar tu, kahwin aje la. Ingat, kalau nak kahwin, kahwinlah dengan lelaki yang bersungguh-sungguh nak kan kita, bukannya kita yang bersungguh nak kat dia. Faham tak?” Puan Siti memberi nasihat.
“Ya. Sya faham ibu tapi…”
“Tak ada tapi-tapi. Siapa nama lelaki yang calon suami ke dua tu?” soal Puan Siti lagi. Dia memandang wajah Khusnul Syakinah yang seperti keberatan mahu memberitahunya.
“Iqram…”
“Kerja apa?”
“Tak tahu…”
“Umur berapa?”
“Tak tahu…”
“Mak ayah dia masih ada ke?”
“Tak tahu…”
“Anak nombor berapa?”
“Tak tahu…”
Puan Siti mengeluh mendengar jawapan dari mulut Khusnul Syakinah. Semua tak tahu ni? Kenal ke tidak ni? Sya macam tak suka sahaja.
Sebenarnya Khusnul Syakinah malas mahu memikirkan tentang Iqram. Apabila teringat tentang Iqram, pasti hatinya sakit. Pertama sebab kes trauma itu. Ke dua, kes mengenai Sofea. Disebabkan mulut Iqram yang tak ada insurans itu menyebabkan sahabat baiknya benci padanya. Agak-agaklah nak melamar aku. Ingat aku ni apa.
“Sya, siapa pun dia, Sya kena kenal dia. Mulai malam ni, buat solat istikharah. Dua bulan lagi ibu nak Sya kahwin. Tak kisah siapa pun pilihan Sya. Ibu terima. Khair atau Iqram…”
Khusnul Syakinah hanya mampu tersenyum.
Sejak peristiwa di hospital tempoh hari, Iqram tidak lagi muncul dalam kehidupan seharian Khusnul Syakinah. Dia rasa tenang dan bahagia. Cuma… Matanya memandang lelaki yang setia menunggu di luar pejabat tempat dia bekerja. Khair. Lelaki itu setia menunggu dan mengambilnya bekerja setiap hari.
Yelah! Sofea sudah benci pada aku. Sofea tak nak kawan dengan aku…
Air matanya ingin mengalir. Mana mungkin dia tidak rasa sedih. Mesti sedih sebab Sofea kawannya sejak pada zaman persekolahan lagi.
“Tak balik lagi ke?” Amar menegur Khusnul Syakinah.
“Nak balik la ni…” Khusnul Syakinah sudah bersiap dengan beg tangan di bahunya. “Saya balik dulu bos. Assalamualaikum…” Dia menolak cermin kaca dan lambat-lambat berjalan ke arah yang bertentangan dengan Khair.
“Sya!” panggil Khair. Dia panggil sebab anggap mungkin Khusnul Syakinah tidak nampak dia berada di sini. “Jom aku hantar kau balik.”
“Tak apa, Khair. Aku boleh balik sendiri. Aku kan ada kaki ni. Boleh berjalan lagi.” Elak Khusnul Syakinah. Dia sendiri tiada alasan untuk mengelak diri daripada Khair. Dia terus berjalan tanpa mempedulikan Khair.
“Tunggu dulu! Tunggu!” Khair menghalang langkah Khusnul Syakinah dengan tubuhnya sambil ke dua belah tangannya di angkat sama tinggi dengan aras telinganya. “Aku ada benda nak cakap dengan kau…”
“Apa dia? Cakaplah cepat sikit. Aku kena balik awal ni.” Entah mengapa dia jadi tidak selesa jika bersama Khair. Dulu lelaki ini bukan jenis yang kuat memaksa walaupun tiap-tiap hari dia menyibuk di sisinya.
“Kau dah berubah, Sya. Kau dah tak macam dulu.” Nada suara Khair berubah. Lembut dan menusuk kalbu Khusnul Syakinah. Khair nampak akan perubahan Khusnul Syakinah sejak peristiwa di tempat letak kereta hospital tempoh hari.
Khusnul Syakinah menelan air liur. Dia pun sedar akan dirinya yang dingin terhadap Khair tapi sikap lelaki itu sudah melampau. Walaupun apa yang dikatakan oleh Iqram sangat menyakitkan hati, dia harus kawal kemarahannya. Bukannya bergaduh. Gaduh bukanlah satu jalan penyelesaian yang baik.
Itu yang dia pelajari dalam cerita korea ‘City Hunter’. Walaupun tak banyak pengajaran dalam cerita itu tetapi satu pengajaran ini dia boleh terima. Gaduh? Dendam? Itu hanya memusnahkan diri sendiri. Kita ada undang-undang. Biar undang-undang selesaikan semua kes. Bukannya kita yang pandai-pandai menghukum orang tersebut.
Tapi dalam kes aku, undang-undang terlibat ke? Krik! Krik! Krik!
Memang Iqram bersalah dalam hal ini tetapi itu hak dia walaupun kata-kata itu menyakitkan hati Khusnul Syakinah.
“Mana ada aku berubah. Cuma aku suka duduk di rumah. Ibu aku pun dah boleh terima aku kembali. Aku gembira sangat. Jadi, aku sibuk  melayan kerenah ibu aku yang sangat aku sayang. Kau tahu kan betapa aku sayang ibu aku itu. Aku dambakan kasih sayang dia.”
Khusnul Syakinah memandang Khair untuk seketika. Lama mereka berdua berdiri di situ.
“Kalau macam tu, benarkan aku hantar kau pulang. Hari ni je. Lepas ni, aku tak ganggu kau masa balik.” Khair mengalah. Dia tetap mahu menghantar Khusnul Syakinah balik. Itu yang diharapkan.
Khusnul Syakinah gelisah. Dia serba salah mahu menerima pelawaan Khair. Selalunya pasti ada Puan Siti atau Sofea. Ligat otaknya berfikir untuk mencipta alasan.
“Macam ni la, Khair. Aku bukan tak sudi nak naik kereta dengan kau tapi kita berdua je. Aku tak suka la. Kau faham kan?” Berbelit-beli lidah Khusnul Syakinah menerangkannya.
“Maksud kau?” Dahi Khusnul Syakinah berkerut.
“Maksud aku… Apabila perempuan dan lelaki berdua sahaja, pasti yang ke tiga itu syaitan…”
Khusnul Syakinah tersengih.
“Okey. Fine!” Tinggi nada suara Khair. Jelas sekali wajah Khusnul Syakinah terkejut dengan kata-katanya. “Aku teman kau naik bas. Macam mana…”
“Tak payah la. Kau kan dah ada kereta, buat apa nak naik bas. Kau ni ada masalah ke?” Khusnul Syakinah makin gelisah berada di sini. Dia perlu segera ke perhentian bas sebelum semua bas lalu. Kang tak pasal-pasal aku terpaksa balik naik teksi pula. Teksi kan mahal.
“Memang aku ada masalah.” Giliran Khair pula tersengih.
“Ikut suka kaulah!” Khusnul Syakinah berjalan dahulu. “Kau jangan menyesal naik bas dengan aku.” Pesannya lagi.
“Nak menyesal apa. Dengan adanya kau di sisi aku. Ke mana sahaja aku sanggup redahi…”
Penuh yakin Khair berkata. Dia tidak tahu apa yang bakal dihadapinya. Janganlah bercakap besar.
“Walaupun lautan manusia dengan pelbagai bau?”
Khusnul Syakinah menduga. Dia tersenyum dalam hati. Ada yang Khair tak pernah tahu mengenai sebuah bas di waktu petang.
“Apa tu? Biasanya orang kata, lautan api…”
“Lautan api tu di neraka. Kalau cukup iman, cukup amalan dan sedekah. Tak perlu nak redah lautan api tu. Insya-Allah, akan dipermudahkan jalan kau nanti.” Nasihat Khusnul Syakinah.
Lagi sekali Khair tersengih.
Kini, mereka berdua berada di perhentian bas. Menunggu bas dengan sabar. Khair rasa bahagia sebab dia boleh bersama Khusnul Syakinah.
Khusnul Syakinah pula rasa bersyukur sebab di perhentian bas itu, bukan sahaja dia dan Khair, malah ada beberapa orang wanita yang juga sedang menunggu bas di situ.
“Bas dah sampai…” kata seseorang.
Mereka turun ke jalan, menanti bas berhenti.
“Bas dah sampai…” Khair berkata. Sebentar tadi pandangannya asyik melihat wajah Khusnul Syakinah. Kini, pandangannya jatuh pada sebuah bas.

What the hell?” Matanya terbeliak.