Followers

Sunday 30 November 2014

8
Komen

mini novel CALON SUAMI KE DUA 2

Assalamualaikum... ni bab dua...marilah baca... semoga terhibur. tajuk lamanya ialah EJEN CINTA 143... tapi cik penulis tukar jadi calon suami ke dua.... harap sudi baca dan sudi komen...komen anda semua sangat berharga untuk saya...terima kasih...


Sejak peristiwa yang berlaku antara Khusnul Syakinah dan Iqram, mereka berdua tidak lagi bercakap. Iqram pun tidak lagi mengganggu Khusnul Syakinah kerana peperiksaan SPM sudah menjelang.
Baik tak aku? Hihihi…
Iqram mahu Khusnul Syakinah berjaya dalam peperiksaannya dan suatu hari nanti gadis itu akan bekerja di syarikat yang sama dengannya. Dia dapatlah selalu memperhatikan Khusnul Syakinah kerana gadis itu mula menarik perhatiannya. Dari jauh dia memerhati tingkah laku Khusnul Syakinah yang nampak sopan dan menjaga pergaulannya. Dia suka pula melihat gadis itu begitu. Senyuman terukir di bibir.
Aku nak tengok kau tiap-tiap hari. Aku nak dengar suara kau selalu. Aku mahu kau hidup bersama aku. Nak harap kau datang dan menyerah pada aku, dalam mimpi je kot. Tak payah nak berangan. Itu mustahil akan berlaku memandangkan nama aku dah blacklist dalam carta hati kau. Aduh! Apa nak jadi dengan aku ni? Dah gila bayang ke? Desis hati Iqram. Makin bercelaru pula.
“Siapa lelaki tu? Bersongkok! Berlagak macam ustaz pula,” soal Iqram sendirian.
Senyumannya terhapus sendiri. Lelaki itu kelihatan mesra dengan Khusnul Syakinah. Sakit hatinya melihat adegan depan matanya. Tak kan la cita rasa Khusnul Syakinah macam tu? Lelaki nampak alim di luaran tu?
“Dia ketawa?”
Hati Iqram Aznan menjadi makin sakit melihat Khusnul Syakinah ketawa bersama lelaki lain. Makin membara. Dia ingin meninggalkan tempat yang membuat jiwanya sesak.
“Kelat je muka kau...”
Dia belum sempat berdiri, muncul pula Daniel. Dia adalah sahabat baik Iqram. Selalu mendengar masalah yang dihadapi olehnya tetapi rahsia tentang apa yang sudah dilakukan terhadap Khusnul Syakinah tidak akan sesekali dia beritahu Daniel mahupun pada sesiapa. Dia hanya diam.
“Kau perhatikan Sofea ke? Bukan ke dia dah tolak cinta kau?” soal Daniel yang dia tahu sedikit mengenai hubungan cinta yang tidak kesampaian itu.
“Aku dah tak kisah pada minah tu lagi, tapi yang aku kisah pada perempuan yang bernama Khusnul Syakinah. Aku dah jatuh cinta padanya.” Mata Iqram masih memandang gadis yang tersenyum lebar itu.
“Biar betik ke kau!” Daniel tergamam. Citarasa luar biasa kawan aku ni.
“Ilham, awak jangan lupa, ajar si Sofea ni,” ujar Khusnul Syakinah.
Senyuman yang mekar di bibirnya dipamerkan. Tanpa sesiapa tahu, itu senyuman kaku. Peristiwa dia bersama Iqram masih mengganggu fikirannya. Dia berpura-pura gembira di hadapan semua orang tetapi hatinya masih tidak dapat menerima hakikat yang berlaku ke atas dirinya.
“Khusnul, saya akan ajar si Sofea ni. Jika bersungguh-sungguh, pasti boleh.” Ilham memandang Sofea lalu memandang Khusnul Syakinah pula.
“Aku tahu aku lemah matematik tambahan, tapi tak perlulah cikgu yang tak bertauliah ni,” tolak Sofea.
Peperiksaan SPM semakin hampir. Dia benar-benar lemah dalam mata pelajaran itu. Mata pelajaran Matematik boleh pula dia  belajar. Dia sendiri pelik.
“Khusnul!” panggil seseorang.
“Abang...”
Sofea terkejut melihat Aqiff berada di sini pada waktu begini. Mungkin ada hal penting kot.
“Khusnul kena ikut abang, ayah Khusnul kemalangan jalan raya. Sekarang di hospital,” cemas Aqiff.
Baru sebentar tadi, cikgu memanggilnya untuk memberitahu hal ini kepada Khusnul Syakinah. Puas dia mencari gadis itu. Rupa-rupanya di sini dia berada. Nasib baik jumpa.
Khusnul Syakinah tersentak. “Abah...” Fikirannya bercelaru. Air matanya mengalir serentak dengan sebutan istimewa itu. Satu-satu tempat dia bergantung kini dalam keadaan bahaya. Dia bimbangkan keadaan Encik Hafiz.
“Sabar Sya. Jom kita ke hospital,” ajak Sofea. “Ilham, awak tolong beritahu cikgu, saya teman Sya.”
“Baiklah!” Ilham juga bimbang dengan keadaan sahabatnya itu.
Khusnul Syakinah masih kaku. Sofea dan Aqiff sudah mula melangkah tetapi dia masih tidak bergerak. Dia tidak mampu untuk melangkah. Kakinya tidak kuat apabila mendengar berita tersebut. Akhirnya dia terduduk atas lantai.
“Sya...” panggil Sofea.
Kasihan pula melihat keadaan Khusnul Syakinah. Mesti dia terkejut dengan khabar berita ini. Kalau aku tolong dia, pasti ramai ingat aku sahabat yang baik. Okey juga. Sikapnya yang tidak ikhlas itu muncul lagi.
“Aku tak percaya!”
Khusnul Syakinah bangun dan berlari meninggalkan tempat itu. Dia tidak mahu percaya apa yang didengari sebentar tadi. Baru pagi tadi aku berbual dengan abah sebelum abah ke tempat kerja. Wajah abah ceria. Aku tak nak percaya ini semua. Tidak!!!
“Kenapa dengan buah hati aku tu?” Iqram terkejut melihat gadis pujaan hatinya berlari dengan tiba-tiba. Ada apa-apa yang berlaku ke?
“Jom kita pergi tegur,” ajak Daniel. Mereka berdua pun menghampiri Ilham yang kini tinggal bersendirian.
“Hello, bro kecik!” sapa Daniel.
Eh, kenal pula si Daniel ni! bisik hati Iqram.
“Hello, bro besar!” sambut Ilham.
“Kenapa dengan buah hati kau tu? Lari tiba-tiba je? Ada pertandingan marathon ke?” Daniel membuat lawak tetapi lawaknya itu hanya dibalas oleh Iqram dengan menyiku kuat di perutnya. Aduh!
Ilham tersenyum hambar apabila Khusnul Syakinah dikatakan sebagai buah hatinya. Memang dia suka pada Khusnul Syakinah tetapi cinta bukanlah matlamat hidup gadis itu buat masa ini.
“Mana ada. Aku dengan dia kawan je. Oh, ayah Khusnul masuk hospital! Tapi Khusnul tak percaya dan terus berlari tadi. Mungkin dia tak dapat terima kenyataan ni kot,” teka Ilham.
“Macam tu.” Daniel terus memandang temannya itu.
“Bro besar, aku pergi dulu...” Memandangkan Daniel lebih tua darinya, dia akan panggil begitu.
“Tunggu!”
“Ya, bro!” Ilham merenung Daniel.
“Memang perempuan tu buah hati kau ke?”
Perlahan sahaja Daniel bertanya. Kan tak tanya, merana pula kawan aku ni… So, kena tanya dengan nada serius. Barulah benda ini menjadi perkara serius. Tak gitu.
Ilham tidak menjawab. Dia terus pergi meninggalkan mereka.
“Aku nak pergi cari dia...”
Iqram rasa risau. Memang dari tadi dia rasa risau dengan melihat wajah pucat Khusnul Syakinah dan kini dengan berita ayahnya kemalangan. Mesti dia tak kuat saat ini.
“Kau nak ponteng kelas lagi ke?” soal Daniel. Rajin betul tak ada dalam kelas kawan aku seorang ni.
“Bukan selalu pun. Aku risau kat dia.”
“Hati-hati la!”
“Okey!”
Iqram mencari Khusnul Syakinah. Dia ternampak seseorang di belakang bangunan. Dahinya sedikit berkerut. Entah sebab apa dia terus melangkah hampir di belakang bangunan itu.
“Khusnul Syakinah!” Dia agak terkejut. Dia melihat Khusnul Syakinah sedang dipeluk oleh Aqiff.
Wajah gadis itu sedikit pucat.
Tiba-tiba perasaan cinta yang menggunung menjadi perasaan benci yang melampau. Dia tidak dapat melupakan apa yang dilihatnya. Dia benci pada Khusnul Syakinah yang begitu murah dan senang-senang membenarkan lelaki lain memeluknya. Dia meninggalkan tempat yang membuat hatinya panas.
“Sya, kau tak apa-apa?!” soal Sofea.
Dia ke tandas untuk membasahkan tuala lalu dilapkan ke wajah sahabatnya itu. Aqiff membantu dengan memegang tubuh Khusnul Syakinah.
“Kita ke hospital je!”
Aqiff berpendapat perkara ini tidak boleh dilambat-lambatkan. Bimbang Khusnul Syakinah akan menyesal seumur hidup jika tidak dapat berjumpa dengan ayahnya untuk kali terakhir.
“Baiklah!” Sofea memimpin Khusnul Syakinah menuju ke kereta milik Aqiff.

TAHUN berlalu tahun. Semakin lama, makin meningkat umur seseorang. Begitu juga dengan kehidupan Khusnul Syakinah. Dia hidup bersendirian lagi. Itulah takdir untuk dirinya. Encik Hafiz meninggal dunia disebabkan kemalangan jalan raya. Tiap kali teringat akan Encik Hafiz, dia rasa terkilan. Terkilan kerana terlambat untuk berjumpa dengan arwah untuk kali terakhir. Sedangkan semua ahli keluarganya sudah tiba lama di situ. Dia tersedar dari dunia kesedihan. Orang lain selalu nampak dirinya kuat dan tenang tetapi tiada siapa yang tahu dia sebenarnya insan yang paling rapuh hatinya. Dia sering menyembunyikan tangis dan kesakitannya demi melihat ahli keluarganya yang lain kuat. Di saat dia bersendirian, air matalah menjadi teman yang paling setia. Dia perlu kuat. Puan Siti memerlukan sokongannya.
Dipejamkan mata seketika. Khusnul Syakinah mengumpul sedikit kekuatan untuk meneruskan hidup di atas dunia sementara ini. Dia yakin dengan setiap ujian yang ALLAH S.W.T. berikan padanya akan di balas dengan kebahagiaan. Jika tidak di dunia, dia mengharap di akhirat nanti.
Khusnul Syakinah meneruskan pekerjaannya. Inilah cara dia mencari rezeki setelah gagal dalam peperiksaan SPM. Dia tidak dapat memberi fokus pada peperiksaan ditambah dengan berita kematian ayahnya dan lelaki yang bernama Iqram Aznan.
Lelaki itu... Ah! Khusnul Syakinah dapat rasakan kebencian terhadap lelaki itu adalah setinggi Gunung Kinabalu, seluas lautan Hindi dan setinggi suhu matahari. Betapa dia benci pada lelaki itu.
“Puan, tumpang tanya.”
Tiba-tiba seorang lelaki menegurnya. Dia benar-benar tidak perasan dengan kehadiran lelaki itu. Ini mesti kes kuat sangat fikirkan sesuatu sehingga hilang fokus pada sekeliling sendiri. Ketika itu, dia sedang mengelap cermin pejabat. Dia amati lelaki yang berdiri di hadapannya ini. Tinggi macam Lee Min Ho tapi rambut dia tak macam jejaka pujaan hatiku itu. Rambut lelaki ini nampak lebih kemas.
“Puan!” panggil lelaki itu lagi apabila dia tidak memberi tindak balas bagi pertanyaan tersebut.
Khusnul Syakinah tersentak. Dia beristighfar dalam hati kerana merenung lelaki seperti itu. Apa yang dah aku buat ni? Tenang wahai hati.
“Ya, boleh saya bantu?” ramah Khusnul Syakinah.
“Amar Qalish bekerja di sini ke?” soal lelaki yang memakai cermin mata gelap itu. Pandangan mata itu tersembunyi.
“Ya... Itu biliknya.”
Khusnul Syakinah menunjuk ke satu arah pintu yang tertutup rapat itu. Pejabat ini memang tidak sibuk pada belah petang seperti ini. Jadi tidak ramai orang.
“Terima kasih mak cik...”
Khusnul Syakinah hampir tergelak. Muka aku sikit punya muda ni digelar mak cik. Buta agaknya mamat ni. Sabarlah. Dia terus berpaling dan menyambung semula mengelap cermin lut sinar yang ada dalam pejabat itu.
Lelaki itu menuju ke arah yang di katakan olehnya. Belum sempat lelaki itu menghampiri pintu tersebut, ia sudah di buka dari dalam. Dua lelaki terkejut.
“Oi, Iqram Aznan!” Amar terkejut melihat lelaki berjaya ini datang ke pejabatnya. “Kau buat apa datang pejabat aku ni?”
Khusnul Syakinah yang masih berada di situ, tergamam seketika mendengar nama itu di sebut. Perbuatannya yang sedang mengelap itu terhenti. Nama keramat yang ingin dilupai itu menerjah gegendang telinganya. Dia terkaku mendengar nama itu. Nama yang bisa menggetarkan hatinya. Getaran ini bukan kerana perasaan cinta tetapi kebencian yang menggunung.
“Khusnul, awak buatkan air untuk kami,” arah Amar apabila dia ternampak kelibat pekerjanya itu.
Kini, giliran Iqram pula terkejut. Dia yakin wanita yang sedang membelakanginya itu yang dicari selama ini. Dia mencari wanita ini untuk membalas dendam kesumat yang sudah lama berada dalam hatinya.
Sejak peristiwa di belakang bangunan itu, Iqram tidak lagi berjumpa dengan Khusnul Syakinah. Apabila ditanya pada Daniel iaitu pemberi maklumat setia padanya memberitahu bahawa wanita itu sudah berpindah ke tempat lain. Mungkin kerana ayahnya sudah meninggal dunia atau sebab lain. Dia sendiri tidak pasti.
Dia merenung belakang Khusnul Syakinah. Wanita itu masih mengekal peribadi yang sama. Memakai tudung labuh dan berjubah. Padanlah dengan syarikat Amar Qalish yang menyediakan perkhidmatan atau pakej barang-barang perkahwinan yang bertemakan Islamik.  Apabila di soal sebab Amar memilih bidang ini kerana tuntutan Agama.
“Zaman sekarang, nak kahwin pun susah. Jadi aku tak nak membebani pasangan yang baru berkahwin dengan hutang yang banyak. Jadi aku akan bagi pakej yang murah dan berpatutan agar aku dapat membantu mereka yang ingin mendirikan masjid. Lagi pun isteri aku menyokong aku sepenuhnya.”
Untunglah orang ada isteri... Bisik hati Iqram ketika berbual dengan sahabatnya itu.
“Baiklah encik.”
Khusnul Syakinah berkata perlahan tetapi mampu sedarkan Iqram untuk kembali ke dunia nyata. Dia tidak berpaling menghadap mereka berdua. Masih kaku menghadap cermin tingkap.
Iqram memandang lagi belakang Khusnul Syakinah. Membuak-buak dendam cinta untuk wanita itu.
Dengan kekuatan yang masih ada, dia berpaling menghadap majikannya dengan wajah yang ditundukkan.
“Jom Iqram, kita berbual di dalam bilik aku.”
Amar mengajak Iqram apabila melihat sahabatnya itu tiada tanda-tanda mahu bergerak. Malah sedang merenung pekerjanya. Nanti Khusnul ingat ini gangguan seksual. Baik aku cegah cepat-cepat.
“Iqram..” panggil Amar lagi sekali.
“Jom!” Iqram tersedar. Dia sempat menjeling tajam pada Khusnul Syakinah. Jelas sekali wanita itu terkejut dengan jelingannya.
Selepas mereka berdua hilang dalam pandangan Khusnul Syakinah, barulah dia mampu bergerak. Dia menelan liur berkali-kali. Fikirannya kusut. Akhirnya, dia gagahi juga menuju ke pantry untuk membuat air yang dipesan oleh majikannya itu. Tanpa dia sedari, dia termenung sambil mengacau air nescafe.
“Ehem!”
Ada seseorang yang berdehem membuatkan Khusnul Syakinah sedikit terkejut. Dia terus berpaling. Untuk kali ke dua dia terkejut dengan kehadiran lelaki itu.
Iqram tersenyum sinis. Merenung segenap wajah yang tanpa secalit mekap pun. Sangat cantik. Hatinya bergelora menahan perasaan. Sabar hati. Kau kan nak balas dendam. Sabar ye…
Khusnul Syakinah buntu. Dia mahu melarikan diri tetapi pintu masuk ke pantry betul-betul di tempat Iqram Aznan berdiri.
Iqram menutup pintu pantry itu.
Makin berdebar hebat hati Khusnul Syakinah. Fikirannya terus menerjah peristiwa yang berlaku dalam bilik rawatan pada masa dulu.
“Kenapa kau tutup pintu tu? Baik kau buka!”
Sedikit keras suara Khusnul Syakinah. Dia tidak boleh lemah. Dia sudah belajar seni pertahanan diri teo kwan do tetapi ilmu itu bagaikan melayang jauh apabila melihat Iqram depan matanya.
“Aku tak nak buka...”
Iqram menahan ketawa dalam hatinya. Dia mahu menyeksa hati Khusnul Syakinah sedikit demi sedikit. Dia semakin menghampiri Khusnul Syakinah yang semakin kalut itu. Dia berpura-pura seperti mahu menyentuh wanita itu dengan mengerakkan sebelah tangannya. Senyuman sinis sentiasa di bibirnya.
Khusnul Syakinah perlu yakin dengan apa yang sudah dipelajarinya. Dia menarik tangan Iqram Aznan yang ingin menyentuhnya. Pada masa yang sama dia mencengkam kolar baju Iqram. Kemudian dia menarik sekuat hati tubuh lelaki yang agak besar itu menggunakan bahu kanannya dan menyelit kaki sehingga lelaki itu jatuh tersembam ke lantai. Nasib baik pantry itu agak luas. Tubuh Iqram rebah di situ. Semuanya berlaku terlalu pantas.
“Aduh...”
Iqram mengaduh sakit. Seluruh tubuhnya terasa sakit. Terlalu sakit. Rasa macam tulang nak patah pun. Mana minah ni belajar semua ni? Tergamak dia buat aku macam ni. Memang saja cari nahas ni.
Khusnul Syakinah membetulkan tudungnya. Dia sedikit lelah. Mungkin kerana tubuh Iqram Aznan agak besar. Hampir semua tenaganya digunakan untuk menjatuhkan lawannya itu. Dia mengambil dulang dan menyediakan dua cawan air lalu meninggalkan Iqram di situ. Dia terus menuju ke bilik Amar. Hanya Tuhan sahaja yang tahu begitu berdebar hatinya. Dia tidak percaya yang dia berjaya melakukannya.
“Siap kau nanti!”
Iqram bangun dari terus berbaring. Dia berdiri. Badannya terasa sakit akibat ‘smackdown’ yang dibuat oleh seorang wanita tudung labuh yang lemah lembut. Dia benar-benar rasa tercabar. Diurut perlahan belakang badannya.
“Sakit! Sengal punya minah!” rungut Iqram Aznan.
Badannya benar-benar rasa sakit. Rambutnya yang tersikat kemas kini sudah berserabut. Dia memandang cermin yang berada di pantry itu. Dia mengemaskan rambutnya semula. Selepas itu, dia segera kembali semula ke bilik Amar.
Ketika itu, Khusnul Syakinah baru sahaja menghidangkan air yang dibuat di atas meja. Sempat matanya merenung tajam pada Khusnul Syakinah.
Khusnul Syakinah cuba bertenang. Walaupun sebentar tadi dia sudah melakukan sesuatu yang di luar kawalannya tetapi dia benar-benar kalut. Dia akan rasa gelabah tiap kali pandangan Iqram menikam ke arahnya. Tetapi itu tidak boleh menjadi sebab dia nampak lemah. Dia harus kuat.
“Jemput minum encik,” ramah Khusnul Syakinah.
Sempat dia pamerkan senyuman mekar di bibir untuk majikannya yang baik hati itu. Dia senyum juga pada Iqram yang baru sahaja masuk itu. Itu adalah senyuman palsu. Dia sudah biasa senyum begitu. Dia tahu tidak baik senyum begitu tetapi apa kan daya dia tidak mampu tersenyum dengan seikhlas hati terutama untuk lelaki bernama Iqram Aznan.
Apabila bersama Amar, dia berasa tenang. Tambahan pula, dia sudah mengenali isteri Amar, Dyla. Isterinya seorang yang baik dan peramah. Dia selesa berkawan dengan pasangan suami isteri ini.
“Terima kasih, Khusnul,” ucap Amar. “Jumpa tak tandasnya?” soal Amar pada Iqram apabila melihat kelibat sahabatnya masuk tetapi dia pelik melihat wajah kerut itu.
“Jumpa, tapi ada cicak yang mengganas la. Sakit badan-badan ni aku rasa?”
“Cicak?” Dahi Amar berkerut.
“Ya, cicak!” Iqram masih menjeling arah Khusnul Syakinah.
“Khusnul, kamu pernah jumpa ke dengan cicak yang dimaksudkan oleh kawan saya ni?” Amar bertanya pada Khusnul Syakinah pula.
“Tak pernah pula,” jawab Khusnul Syakinah. Hampir meletus ketawanya. Aku yang comel di katakan cicak? Aku tak nak jadi cicak. Aku nak jadi buaya ganas. Kalau ada gigi buaya ni, dah lama aku gigit kau sampai lunyai.
“Sudahlah! Jemput minum Iqram,” ajak Amar.
Ketika itu, Khusnul Syakinah ingin keluar. Makin lama dia berada di situ, makin panas pula dirasainya.
“Khusnul, tunggu sekejap. Boleh tolong saya tak?” panggil Amar apabila melihat Khusnul Syakinah ingin keluar.
Khusnul Syakinah kembali menghampiri meja Amar. Sempat dia menjeling Iqram yang sedang meneguk minuman yang dibuatnya. Serentak jelingannya itu, Iqram juga menjeling pada Khusnul Syakinah. Cuma dia sembunyikan jelingan itu di sebalik cawan tersebut dan hanya dilihat oleh Khusnul Syakinah seorang. Dia tersentak. Dulang yang dipegangnya terlepas dari pegangannya kerana terkejut dengan jelingan mata yang amat tajam itu.
“Maaf...”
Khusnul Syakinah tunduk mengambil dulang di lantai. Semangatnya bagaikan melayang jauh. Dia sendiri tidak pasti ke mana semangat itu menghilang.
Iqram tersenyum. Tadi berani sangat buat smackdown kat aku. Ni baru jeling sikit, semangat dah lemah.
Sejak Iqram Aznan mengenali Khusnul Syakinah.  Banyak perubahan diri yang berlaku. Dari dulu memang dia tidak pernah minat untuk belajar tetapi Khusnul Syakinah tunjuk kepadanya betapa penting sebuah ilmu itu. Sejak itu dia banyak belajar dan belajar. Pelbagai ilmu pengetahuan yang dia pelajari. Selepas itu, dia menjadi minat belajar. Tetapi minatnya berterusan apabila Khusnul Syakinah menduakan dirinya. Perempuan itu bersama dengan lelaki lain. Dia benar-benar tercabar.
Iqram masih memerhati Khusnul Syakinah yang tidak memandangnya lagi.
“Encik Amar nak saya tolong apa?”
“Awak tolong fotostat ni?” Amar memberi beberapa helaian kertas. “Nanti dah siap. Hantar pada saya secepat mungkin.”
“Baiklah Encik Amar.” Khusnul Syakinah terus berlalu.
“Pekerja kau yang tu dah kahwin ke?”
Sengaja Iqram  bertanya begitu. Dia ingin tahu tentang kehidupan Khusnul Syakinah. Dia kena siasat latar belakang terbaru Khusnul Syakinah.
“Belum? Kenapa tanya?” soal Amar sambil tersenyum. “Jangan kata pada aku yang kau dah jatuh cinta dengan pekerja aku tu...”
“Bolehlah dikatakan begitu.” Iqram ketawa kecil. Sebenarnya dia sendiri tidak pasti dengan perasaannya. Cinta atau dendam?
“Dia susah sikit dengan lelaki?” Amar merenung wajah sahabatnya. Renungan yang serius.
“Maksud kau?” Iqram begitu teruja untuk mengetahuinya.
“Tengoklah tadi. Aku ni bos dia pun, dia buat tak tahu je. Aku suruh buat air, dia buat. Aku suruh buat kerja fotostat pun dia buat tanpa banyak cakap. Itu pun mujur dia nak senyum. Kalau tak, payah! Ada pelanggan aku kata pekerja aku yang pakai tudung labuh ni sombong,” jelas Amar.
“Betul tu...” Iqram juga mengakui kata-kata Amar Qalish. Kalau orang tidak mengenalinya akan kata yang gadis ini sombong.
“Mungkin dia ada sejarah dengan lelaki kot...” teka Amar.
Iqram tersentak. Kata-kata itu bagaikan batu besar menghempas kepalanya atau pun kayu balak yang berusia lebih 100 tahun tumbang atas badannya. Sakit sangat!
“Sejarah dengan lelaki?”
Sengaja Iqram mengulangi kata-kata Amar agar hatinya sedikit tenang. Dia dapat meneka yang Khusnul Syakinah jadi begitu kerana perbuatannya dahulu.
“Hey kawan! Kau memang dah jatuh cinta dengan pekerja aku ke?” soal Amar Qalish lagi sekali.
Dia tidak percaya. Sahabat yang dikenali di universiti terkenal dengan sikap benci perempuan tetapi dengan Khusnul Syakinah, begitu mudah jatuh cinta. Dia jadi pelik.
“Nampaknya susah la aku nak mengorat dia...” Iqram tersengih. “Kau jaga dia untuk aku tau. Mak ayah dia ada lagi tak?”
“Ayah dia meninggal dunia masa dia nak SPM dulu. Mak dia masih ada lagi.”
Iqram tersentak mendengar kata-kata Amar. Ayah dia dah mati? Aku pasti pada hari yang aku nampak dia bersama lelaki tu... Hatinya kembali sakit.
“Serius pula muka kau ni.”
“Macam kau tak biasa je. Muka aku kalau tak berkedut empat belas, memang tak sah. Sebab itu juga ramai perempuan tak suka aku. Selamat sikit.”
Iqram terkenal dengan wajah yang serius. Dia jarang ketawa apatah lagi tersenyum. Kalau senyum pun, hanya senyuman sinis dan mengejek.
“Ya lah! Lupa pula!”
“Dia ada abang atau adik ke?” soal Iqram lagi.
“Dia ada seorang adik lelaki. Rasanya masih praktikal di sebuah syarikat dalam bidang pemasaran. Tahun akhir dah tu... dan kakak. Aku tak kenal sangat kakak dia.”
“Oh, macam tu.”
“Banyak yang kau tanya ni. Mesti dah jatuh hati sungguh-sungguh dengan perempuan tu.”Amar gedik. Dia gembira jika Khusnul Syakinah menjadi pilihan Iqram untuk dijadikan isteri.
“Semestinya. Gedik juga aku tengok kau ni. Kerja je dalam bidang Islamik, so peribadi tu biar Islamik juga.”
“Maksud kau?”
“Yalah! Kau dah ada isteri, jangan nak menggatal dengan perempuan lain. Biar aku seorang yang gatal dan miang dengan perempuan tu.” Iqram ketawa kecil.
“Okey Bro! Aku tak kacau perempuan yang kau suka tu.”
“So, apa kes datang ke pejabat aku ni?” Barulah mereka berbincang perkara penting setelah berbual hampir sejam.
“Aku nak tolong seorang kawan kita nak kahwin ni...”
“Siapa?”
“Daniel Saufyan...”
“Oh, penyiasat sendirian tu!” Amar ketawa kecil.
“Ya. Dialah. Dah nak kahwin. Aku cadang nak sponsor kad jemputan dia sebagai hadiah perkahwinan mereka.” Iqram Aznan menjelaskan tujuan sebenar dia ke mari.
“Oh, tiada masalah. Baik pula kau ni kan?” Amar tersengih.
“Aku memang baik. Kau baru tahu ke?” Iqram membuat muka serius.
Amar mencebik. Akhirnya mereka berdua ketawa gembira.
Khusnul Syakinah mengetuk pintu bilik Amar.
“Masuk...” arah Amar dari dalam.
Iqram tersentak melihat wajah Khusnul Syakinah. Muncul lagi minah ni! Dia tidak berpuas hati dengan cara kehadiran perempuan itu.
“Maaf encik Amar. Mesin fotostat tadi buat hal. Jadi lambat sikit. Ini kertasnya.” Khusnul Syakinah menghulurkan beberapa keping kertas.
“Tak apa.”
Khusnul Syakinah terus keluar tanpa melihat wajah Iqram.
“Aku rasa dia tak suka kau la, Iqram.” Teka Amar sambil berbisik.
“Ye kot!” Iqram mengaku sahaja. Siap kau lepas ni!
Khusnul Syakinah mengerakkan tangannya di dada. Hatinya berdebar kencang. Segera dia melangkah ke stor iaitu tempat dia berehat. Dia tidak akan keluar dari bilik tersebut. Dia tidak mahu berjumpa dengan Iqram lagi.
“Aku benci dia. Kenapa dia muncul dalam hidup aku semula?”
Khusnul Syakinah cuba bertenang. Apabila dia melihat Iqram, pasti perasaan terkilan tentang kematian ayahnya akan terasa.
Dia tidak suka perasaan itu. Pasti sukar untuk dia menghilangkan perasaan kecewa dan terkilan itu. Terkilan tidak dapat berjumpa dengan ayah untuk kali terakhir. Memohon maaf pada lelaki yang banyak berjasa pada dirinya. Air matanya mengalir. Tiap kali teringatkan arwah pasti air matanya akan menemaninya. Walaupun peristiwa itu sudah tujuh tahun berlalu. Kini, umurnya sudah dua puluh empat tahun.

Dia memejamkan matanya rapat-rapat. Dia berharap sedikit kekuatan meresap dalam hatinya. Dia kena kuat kerana Puan Siti masih ada walaupun ibu tirinya membenci padanya. Adik lelakinya juga masih praktikal. Kesabaran lah yang harus dia tanam dalam lubuk hatinya.

8 comments:

  1. Kuat gak si khusnul ni...sambung lg kak...

    ReplyDelete
  2. Dh baca jugak ni...next plz...

    ReplyDelete
  3. Mini novel ni xda sambungan ke?
    Ke dah dibukukan?

    ~suka semua penulisan ria natsumi...still new here

    ReplyDelete
  4. Sambung lagi please....

    ReplyDelete
  5. kenapa tak sambung lagi dah lama sangat tunggu dari tahun lepas lagi .huhu

    ReplyDelete
    Replies
    1. dah siap pun mini novel ni....hihihihi nak kena update ye? tunggu tawaran mini novel ini diterbitkan....baiklah...saya update sikit lagi bab...

      Delete
    2. lame tunggu cerita ni... hihihi

      Delete
    3. saya dah update sampai bab 9...ce cari...mesti ada...

      Delete

jangan lupa komen...komen anda sangat bermakna bagi ria natsumi