Followers

Friday 9 May 2014

5
Komen

2014:CERPEN 1: BE MY LAST LOVE







Cerpen : Be My Last Love

Aku menghampiri lelaki yang aku sendiri tidak kenal itu. Aku menarik nafas dalam-dalam. Aku dah gila agaknya.
“Aku suka kau, kau nak tak kahwin dengan aku?” kataku dengan sekali nafas. Macam akad nikah dah. Kalau lelaki tu bolehlah tapi kau ni perempuan wahai Rei!
“Gila!” marah lelaki itu. Dia bangun dan berkira-kira mahu meninggalkan aku. Aku tak kisah. Aku memang gila. Beginilah keadaan aku jika aku putus cinta. Cinta entah ke puluh berapa aku tak ingat.
Air mata aku berguguran. Aku sedih! Aku sakit hati. Bukan aku yang meninggalkan cinta aku tetapi mereka yang bergelar lelaki. Mereka curang. Mereka tidak jujur. Mereka playboy. Apa salah aku sehingga mereka meninggalkan aku kerana perempuan lain. Di mana cinta terakhirku? Di mana?
Makin laju air mata aku mengalir. Bersungguh-sungguh aku mengelap air mata ini tetapi air mata terus mengalir.
Ya Allah. Sakitnya hati ini!
Tiba-tiba ada seseorang menghulurkan sekotak tisu. Siap ada tanda harga RM1.50 lagi di kotak itu.
Aku mendongak sebelum mengambil kotak tisu tersebut. Lelaki tadi la…
“Eh…” itu sahaja yang keluar dari mulut aku. Rasa kekok pula. Tadi mamat comel ni kata aku gila. Awat datang sini pula? Walaupun hakikat sebenarnya aku memang gila sebentar tadi. Tapi lepas nangis aku dah tak gila. Dah normal balik. Harap dia tak ingat apa yang aku katakan tadi.
“Apa yang awak cakap tadi…” kata-kata lelaki itu terhenti di situ…
Alamak… Aku tersentak…

Si teruna duduk termenung…
Aku mengeluh. Untuk mencari seorang wanita yang sejati dan yang aku berkenan ni susah betul. Siapa perempuan yang nak jadi isteri aku ni? Dah la muka comel. Orang ingat aku si lembut pula. Padahal aku dah pergi gim supaya badan ni jadi berketul-ketul tapi malang itu tidak berbau. Hanya hangat-hangat tahi ayam sahaja. Sehari sahaja aku mampu bertahan.
Aku termenung lagi.
Tiba-tiba seorang perempuan menghampiri aku.
“Aku suka kau, kau nak tak kahwin dengan aku.” Kata-kata perempuan itu benar-benar membuat aku terperanjat.
Aku sempat memerhati wajahnya yang sudah basah dengan air mata. Suka aku tapi muka macam nak menangis tapi… tapi… dia nampak comel. Aku setuju je kahwin dengan perempuan ni. Dia comel macam aku… tapi….
“Gila!” Aku bangun dan terus berlalu pergi. Aku memang gila sebab hampir sahaja nak setuju dengan permintaan perempuan yang tidak aku kenali.
Kalau dia ingat aku kata dia gila, memang silap sebab aku yang gila. Nak setuju pula. Sempat aku berpaling melihat perempuan itu kembali. Kasihan. Dia kelihatan sedang menangis. Bersungguh benar minah ni menangis. Kenapa? Sebab aku tolak pinangannya ke? Poyo betul aku.
Tak sampai hati pula nak tinggalkan gadis secomel itu di sini. Baik aku pergi beli tisu. Aku tengok, dia tak ada tisu tu. Naik basah lengan baju tu lap air mata.
Aku segera masuk ke dalam sebuah kedai. Nasib baik ada jual tisu tapi... Langkah aku terhenti. Banyaknya tisu.
“Mana satu aku nak beli ni?” Aku dah mula keliru. Beli tisu dua puluh sen ni takut tak mampu nak tampung air mata minah ni. Kalau beli sekotak tisu ni? Aku rasa dah memadai kot. Okey! Set!
Selepas membuat bayaran, aku segera menghampiri perempuan itu dan menghulurkan kotak tisu.
Perempuan itu mendongak dan memandang wajahku.
“Eh…” Hanya itu sahaja yang keluar dari mulut perempuan itu. Aku mula jadi tak menentu. Terngiang-ngiang suara lembut perempuan itu meminangnya. Tak boleh jadi ni. Biar aku gila, asalkan perasaan aku ini terbalas.
“Apa yang awak cakap tadi…” kata-kata aku terhenti di situ. Rasa ada sesuatu tersekat di kerongkong pula.
Kelihatan cuak jelas terpamer di wajah perempuan tu. Dia dah ubah fikiran ke? Aku juga cuak.
Belum sempat aku nak bersuara lagi, telefon kesayangan berbunyi. Segera aku menjawab sambil berpaling daripada perempuan tersebut.
“Mak, kejap lagi saya balik. Mak jangan risau. Saya belilah apa mak nak tu. Ye. Tak lupa mak. Okey mak. Assalamualaikum…” Aku segera berpaling nak sambung ayat aku tetapi…
“Hilang? Dah hilang?” Aku terkejut. “Ini kan…” Perempuan tersebut tertinggal sesuatu yang berharga. Lelaki itu tersenyum.

Si gadis yang gelabah…
Apa? Apa lelaki nak cakap pada aku ni. Itulah kau Rei, kerana mulut, badan binasa. Sekarang ni bukan je badan, emosi kau pun terbinasa sekali. Kes naya ni. Awatlah aku cakap macam tu. Muka lelaki ni dah macam nak setuju ni.
Aku kena lari ni. Kena lari juga.
Tiba-tiba telefon bimbit lelaki itu berbunyi dan dia berpaling daripada memandang aku. Nasib baik. Ini peluang aku.
Tanpa berfikir panjang, aku terus melangkah perlahan dan berlari dengan laju. Nasib baik. Langkah aku terus ke kereta. Berehat seketika selepas berlari 400meter tadi. Memang semput.
“Mana pergi perasaan sedih aku ni? Bila aku tengok muka mamat tadi, aku rasa tenang. Tak pernah aku rasa macam tu. Rasa kecewa juga lelaki itu tolak permintaan aku tapi apabila lelaki tu datang semula, buat aku rasa cuak pula.” Aku meletakkan tangan di dada. Debaran masih terasa.
Lebih baik aku balik rumah.
“Dah balik pun!” tiba-tiba ada suara yang kuat.
“Opocot! Mak! Mak ni buat Has terkejut pula.” Aku terkejut. Mak aku ni main sembunyi-sembunyi pula.
“Janji dengan mak nak balik pukul 3 petang, sekarang dah jam 6 petang. Memungkiri janji ni adalah sikap orang munafik. Ini yang mak nak mula bagi ceramah.” Aku tersengih mendengar kata-kata Mak.
“Tadi ada hal mak…” Aku menjawab. Sungguh derhaka sikapku ini.
“Hal apa? Ingat mak tak tahu yang kamu pergi cari jantan. Putus cinta je, cari jantan.” Geram Mak.
“Mana ada mak!” Aku juga rasa geram. Aku pergi shopping complex tu cuma nak cuci mata je. Sekali-sekala dah jadi single, apa salahnya kan? Bukannya buat maksiat. Cuma tadi, aku terlepas cakap pada seorang lelaki ini. Sebab dia comel sangat.
“Mak cakap tak nak dengar. Mak nak carikan suami, tak nak. Kata nak bercinta la dulu. Apa la. Kalau bercinta selepas kahwin macam mak ni kan senang.” Mak terus membebel.
“Mak bertuah dapat abah. Tapi Has belum tentu bertuah macam mak.” Aku terus berlari masuk ke bilik. Air mata aku terus mengalir terus. Mengenangkan diri sering ditinggalkan oleh lelaki.

Hati seorang ibu…
“Mak bertuah dapat abah. Tapi Has belum tentu bertuah macam mak.” Haslinda berlari laju ke biliknya.
Alamak, aku dah tersalah cakap ke? Atau aku terover sangat bebelnya. Rasa bersalah pula kata anak sendiri macam tu.
“Maknya, kenapa muka macam mati laki je? Laki awak ni masih hidup.” Abah yang baru balik dari kedai kopi.
“Abahnya, saya kasihan dengan anak perempuan kita tu. Asyik putus cinta sahaja. Bila saya nak carikan, terus mengelak. Saya tak sanggup abahnya. Saya tak nak anak saya itu jadi anak dara tua. Tak mahu saya! Tak sanggup telinga ni nak dengar orang mengata.” Air mataku mengalir. Suami tersayang mengusap belakangku.
“Maknya, apa kata kita rancang pertemuan cinta Has dengan lelaki pilihan kita. Kalau Has kata nak bercinta sebelum kahwin, okey je. Abah tak kisah, maknya.”
“Macam mana tu abahnya?” Aku mula rasa bersemangat semula. Demi anak aku. Aku akan rancang sebaik-baiknya dengan izin-Nya.

Di hadapan rumah Haslinda…
Rasanya betullah ini rumahnya berdasarkan alamat dalam kad pengenalannya. Aku berkali-kali melihat kad pengenalan baru yang ada dua gambar itu. Aku je tak buat IC baru lagi.
“Assalamualaikum…”
“Waalaikumusalam…” seorang perempuan keluar. Ingatkan gadis comel Haslinda tapi mungkin si ibunya. Aku sudah jadi tidak menentu. Al-maklumlah bakal mertua.
“Cari siapa?”
“Ini rumah Haslinda Binti Azizi?” soalku. Kena beramah mesra.
“Ya. Kenapa cari anak saya?”
“Dia tertinggal dompetnya. Jadi saya nak pulangkan semula.” Aku tersengih.
“Terima kasih la anak. Baik sungguh hati anak. Nama siapa?” Mak cik tu memuji aku? Wah, ada peluang nak jadi menantu ni.
“Nama saya Danial.” Aku tersenyum. Semalam aku dah ceritakan perasaan aku pada mak. Tak sangka mak aku setuju sebaik sahaja tengok gambar Haslinda. Dia memang ada aura.
“Danial, duduk dulu. Mak cik panggilkan Has…” Mak cik terus menghilang.
Aku pula menanti dengan sabar.
“Kau…” Dah muncul si comel aku ini. Pakai baju kurung? Lagi nampak sopan. Nak ke mana agaknya dia? Ke majlis kahwin ke? Aku mula jadi tak betul.
“Danial duduk dulu. Mak cik pergi buat air.” Mak cik itu terus berlalu pergi.
“Kau buat apa kat sini?” soalnya.
“Aku nak pulangkan dompet kau ni..”
“Okey terima kasih. Sekarang kau balik.”
“Semalam kau lamar aku. Jadi aku…”
“Itu semalam. Kau lupakan je apa yang aku katakan.”
“Mana boleh! Terlajak kapal layar, boleh diundur. Terlajak ketuk paku, boleh cabut semula tetapi terlajak kata, memang tak boleh undur lagi. Kalau undur juga, binasalah dia.” Aku mula berfalsafah sendiri.
Gadis itu terdiam.
“Jadi…” soalnya lagi.
“Jadi, aku nak kahwin dengan kau. Mak aku pun tak kisah…” jujurku.
“Kahwin? Kau kan tak kenal aku?” Banyak betul soalnya. Semalam kau kata kat aku, tak tanya ke yang kau kenal aku atau tak. Aku tak peduli!
“Kenal atau tak, aku tak kisah. Aku dah suka pada kau. Aku nak kahwin dengan kau. Aku nak jadikan kau suri hati aku. Aku nak lindungi kau. Aku nak cintai kau kerana Allah.”
Pup!
Bunyi dulang jatuh.
Serentak mataku dan Haslinda memandang pada arah yang didengarinya.
“Mak…” jelas sekali muka Haslinda terkejut. Aku juga terkejut. Mak cik ni dah dengar ke apa aku cakap?
“Mak nak ke dapur sekejap…”
Mak mertua aku terus menghilang. Keluarga ini memang pelik tetapi aku suka. Nak tergelak pun ada.
“Kau baliklah dulu. Aku ada hal ni.” Haslinda terus mengambil beg tangannya.
“Okey. Aku tinggalkan kat kerja aku ni. Apa-apa hubungi aku…” Aku letakkan sekeping kad di meja ruang tamu. Haslinda kelihatan tidak berminat dengan kad tersebut.
Selesai bersalaman dengan bakal mertua, aku terus pulang dengan satu harapan yang tinggi.

KISAH MEREKA…
Mak Haslinda melihat kad yang ditinggalkan oleh Danial. Perlahan-lahan dia cuba membacanya tetapi tidak lepas. Inilah akibat malas belajar masa kecil-kecil dulu.
“Maknya, awat muka berkerut?”
“Ini saya baca kad ni, tak berbunyi apa-apa pula.” Mak Haslinda masih memandang kad tersebut.
“Dah macam cerita pendekar bujang lapok pula.”
“Kenapa abahnya?”
“Yelah, dalam cerita itu ada babak P.Ramlee baca surat si ros bagi tak berbunyi apa-apa. Macam maknya la ni…” Abah Haslinda ketawa kecil.
“Sedapnya ketawakan kita…” geram Mak Haslinda.
“Ala, gurau je. Itu pun nak marah. Mari abahnya yang baca…” Perlahan kad itu berpindah tangan.
“Mohammad Danial Bin Danish. Pegawai Eksekutif Syarikat Iman Berhad.” Kata-kata Abah Haslinda terhenti. “Siapa ni Maknya?”
“Saya berkenan nak buat dia jadi menantu la, abahnya.” Jujur Mak Haslinda.
“Kalau Maknya dah berkenan. Abahnya ikut je. Lagi pun kerja bagus ni.”
“Betul tu Abahnya.”
“Kalau macam tu, kita mulakan rancangan kita tu.”
“Okey Abahnya. Bereh!” semangat Mak Haslinda.

Selepas Haslinda balik dari kenduri perkahwinan bekas kekasihnya, dia duduk di ruang tamu. Penat menahan air mata. Siapa tak sedih hadiri perkahwinan lelaki yang kita pernah cinta tetapi perasaan sedih itu terhakis sedikit. Hadir perasaan cemas.
“Eh, mana kad tu!” soalnya cemas. “Rasanya sebelum pergi, kad tu ada atas meja.” Haslinda mengaru kepalanya.
“Tak kan mak dah buang?” segera Haslinda berlari ke dapur. Tong sampah kelihatan kosong. Seperti baru sahaja dibuang sampah.
“Cari apa tu, Has?” muncul Mak.
“Opocot! Mak ni, suka muncul tiba-tiba.”
“Mana ada suka. Kadang-kadang je.” Mak tersengih.
“Has ke bilik la. Penat.” Haslinda terus tinggalkan mak sendirian. Menyesal aku tak ambil tadi. Biarlah dulu!

Beberapa bulan kemudian…
Kenapa aku masih teringat pada lelaki tu? Dia sihir aku ke? Dah dua bulan dah berlalu. Aku pun masih single. Kalau tak, seminggu selepas aku putus, dah ada pengganti. Entah mengapa aku tak ada keinginan mahu mencari pengganti.
“Has, mari turun. Mak nak kenalkan anak angkat mak. Mana tahu sangkut.” Kata Mak dari jauh.
Haslinda tersedak. Ada pula ke situ mak aku ni. “Yelah! Nak turunlah ni!”
“Masya-Allah. Cantik! Cantik!” kata seseorang.
Haslinda terkejut. Dia melihat ada seseorang yang berbulu di dagu dengan nama lain berjambang. Sedikit lebat.
“Siapa ni mak?”
“Kenalkan, ini ustaz Don.”
“Setahu Has, ustaz Don lagi kacak dari yang ni.”
“Memang itu yang selalu orang katakan pada saya…” sampuk lelaki yang mengelarkan dirinya ustaz Don.
Memanglah orang kata begitu sebab kau memang tak sekacak ustaz Don yang dah berpunya tu. Bebel Haslinda dalam diri.
“Macam ni Has, Has tolong Ustaz Don cari cenderahati untuk tetamunya untuk majlis akikah anak saudaranya. Jadi kamu pergi teman dia?” arah Mak.
“Lain macam je arahan mak kali ni…”
“Lain macam apa? Mak pun nak pergi sekali tapi mak tak pandai pilih jadi Has lah pilih…”
“Baiklah mak!” terpaksalah Haslinda bersetuju.
Mereka menuju ke kedai yang menjual barang-barang Islamik. Tanpa Haslinda sedari, dia memerhati mata Ustaz Don tanpa berkelip. Mata itu seperti pernah dilihatnya. Tetapi dia lupa. Mungkin sebab dia ada ramai kenalan lelaki.
“Has, boleh ustaz tanya?”
“Boleh tapi jangan tanya fasal agama, saya masih lemah dan masih belajar lagi.” Haslinda merendah diri. Bercinta bagai nak rak, tak ingat dunia dan agama. Syukur, dua bulan yang lepas baru nak berhijrah ke jalan Allah.
“Tak lah. Ustaz mahu bertanya tentang cinta manusia. Apa pendapat Has?” penuh sopan ustaz Don berkata.
“Cinta manusia? Saya tak ada pendapat tentangnya tetapi bagi saya, jika lelaki itu mencintai saya, pasti dia akan menerima kekurangan dan kelebihan yang ada dalam diri saya.” Tiba-tiba Haslinda rasa sayu. Teringat akan bekas kekasihnya yang meninggalkannya.
“Kalaulah suatu hari nanti, Has berjumpa lelaki begitu tetapi Has tak suka pula lelaki itu, macam mana pula?” soal Ustaz Don lagi.
Banyak soal pula ustaz ni… “Saya tak kisah. Paling tidak pun tanam rasa suka. Mungkin ambil masa untuk jatuh suka padanya. Bak kata mak saya, kalau kita nak bahagia, cari lelaki sayang kita bukan kita sayang dia tapi dia tak sayang kita. Menyeksa perasaan sahaja.”
“Betul juga. Jadi saya kena cari perempuan yang sayang saya la…”
“Eh, ustaz tak kahwin lagi? Kahwin la dengan saya… OPS!!!” Pantas Haslinda menutup mulutnya. Perangai lama aku dah datang. Kawal diri Rei oi! Pantang jumpa lelaki single.
Ustaz Don hanya tersenyum dan berlalu pergi.
“Malunya… Malu!”
Tidak sanggup Haslinda melihat wajah ustaz Don. Malu sungguh. Dia tidak bercakap banyak. Mak yang banyak menjawab apa yang ditanyakan oleh ustaz Don.
“Terima kasih mak cik dan Haslinda sebab sudi menemani saya dan memberi pendapat. Saya benar-benar hargai. Jemput datang ke majlis akikah anak saudara saya ye. Ini kadnya. Terima kasih. Saya balik dulu…” kata ustaz Don lalu bersalaman dengan Mak Haslinda.
Haslinda hanya memandang sahaja.
“Insya-Allah, mak cik datang…”
Ustaz Don berlalu pergi.
“Saya pun akan datang, ustaz.” Kata-kata Haslinda itu diucapkan sebaik sahaja kereta Myvi kuning milik ustaz Don menghilang dalam pandangannya.

Majlis Akikah berjalan dengan lancar. Ramai tetamu yang sudah beransur pulang. Mak, abah dan Haslinda datang lewat kerana sesat mencari rumah ustaz Don.
“Maaf, ustaz. Pak cik tersesat. Kalau pak cik yang pandu sekejap sahaja sampai, tapi anak gadis ini yang memandunya. Susah juga.” Sempat lagi Abah Haslinda mengata anaknya.
“Abah…” panggil Haslinda dalam kegeraman. Dia bukan sengaja sesat tetapi hati ini berdebar lain macam. Dia tidak dapat fokus pada pemanduannya. Mak kata belok kiri, aku pergi belok kanan. Mak kata nampak simpang, terus belok tapi aku terus je memandu tanpa belok-belok. Manalah tak sesat. Padahal dekat sangat la.
“Tak apa la mak cik pak cik. Janji dah sampai. Jemput makan dulu. Nanti kita boleh berbual lagi.” Jemput Ustaz Don.
“Terima kasih…”
Selepas makan, aku mula merayau dalam rumah tersebut. Mak dan Abah masih memadu kasih. Makan pun nak bermanja-manja. Haslinda mampu menggelengkan kepala.
Tiba-tiba langkahnya terhenti di hadapan sebuah bingkai gambar yang digantung di dinding. Gambar orang menerima segulung ijazah.
Mata Haslinda merenung tajam wajah yang bersih itu. Zaman universiti katakan… Macam pernah aku lihat. Mulut Haslinda ternganga.
“Dia ke?” soal Haslinda sendirian.
“Rasanya dia…” ada seseorang menyampuk.
Pantas Haslinda berpaling. “Ustaz…”
“Dua kali awak melamar saya.” Ada senyuman ikhlas terukir.
Haslinda termalu. Dia tidak menyangka Danial itu ustaz Don. Bukan ke ustaz Don tu memang namanya ada Danial? Lambat tangkap la aku ni.
“Kenapa peribadi ustaz berbeza dengan yang kali pertama saya jumpa sebelum ni?” soal Haslinda dengan beraninya.
“Dulu, mak saya nak sangat saya cari menantu untuk dia. Saya suka pada awak masa tu. Saya ingat, saya tinggalkan kad tu, awak sudi hubungi saya tetapi tidak. Seminggu selepas itu, mak saya meninggal dunia. Saya jadi tertekan dan terkilan sebab tak dapat menunaikan permintaan terakhirnya. Dan inilah hasilnya. Saya jadi begini. Saya berhenti kerja dan fokus pada anak-anak yatim dan fokus dalam bidang agama. Walaupun saya masih baru dalam bidang ni, saya bersyukur sebab ramai yang menyokong saya.”
Haslinda terdiam.
“Sebelum awak melamar saya kali ke-tiga, biarlah saya katakan dulu.”
Ustaz Don menarik nafas panjang dan lepaskannya.
“Saya suka awak, awak nak tak kahwin dengan saya?” soal ustaz Don.
“Saya nak…” jawab Haslinda malu-malu.
“Tahniah!” bersorak Abah Haslinda. Rupa-rupanya Mak dan Abah Haslinda menyorok di sebalik dinding untuk mendengar perbualan mereka.
“Abah! Apa ni abah?” geram Haslinda.
“Mana boleh abah biarkan kau orang berdua-duaan. Nanti abah yang berdosa…”
“Tapi dulu…” soal Haslinda.
“Semua orang berubah dan bertaubat. Abah juga ada kelemahan. Dulu abah biarkan anak gadis abah keluar sesuka hati. Lelaki mana entah abah sendiri tak kenal. Abah berdosa. Sejak abah kenal ustaz Don ni, abah perlu berubah. Abah tak sangka anak gadis abah ni pun turut berubah. Syukur.” Kata Abah Haslinda sambil menggenggam tangan isterinya.
“Abah!” Haslinda rasa terharu.
“Hidayah itu, hanya akan diberi pada orang yang dikehendaki-Nya. Jadi abah mesti kekalkan hidayah itu dalam hati abah. Abah nak anak yang solehah yang dapat mendoakan abah jika abah tak ada. Benda ni nampak mudah tetapi sukar untuk melakukannya. Hanya hati yang kuat dan cekal sahaja yang boleh melakukannya.”

Beberapa tahun kemudian…
“Jom balik sayang…” ajak Danial.
“Jom!” Haslinda memandang kubur abahnya. Abah Haslinda meninggal dunia tanpa sesiapa sedar. Hanya dalam tidur yang lena.
Air mata Haslinda mengalir. Abah, semoga abah tenang di sana. Has akan selalu doakan abah. Has sayang abah… Dia melangkah pergi dengan hati yang sedih.
“Dahlah… Jangan menangis. Yang pergi tetap pergi dan yang hidup ini kena teruskan hidup dan mendoakan si mati agar dia tenang di sana.” Danial mula berceramah.
“Abang ni macam mak la. Kuat betul beri ceramah.” Kata Haslinda dalam senyuman. Khas untuk suami tercinta.
“Dah kerja abang memang beri ceramah.” Kini mereka sudah berada dalam kereta.
“Abang, terima kasih terima Has seadanya. Has nak bersama abang selamanya.”
“Sama-sama. Abang pun nak bersama Has dan melindungi Has dan anak-anak kita.”
“Insya-Allah…”

Memang dulu perangai kita buruk, macam tak ada agama… kadang-kadang kita lupa pada Pencipta kita tetapi perkara itu tidak lama sebab Allah masih sayangkan kita. Dia masih memberi kita peluang untuk bertaubat dan membaiki diri. Jadi, jangan di hina jika ada yang dulunya jahat mahu berubah… ala macam cerita BUKAN KERANA AKU TAK CINTA…abang jebat kita tu. Dia berubah kerana Allah. Dan dia dapat atasinya. Kita memang tak boleh nak berubah sekali gus tapi cuba sedikit demi sedikit. Insya allah boleh.

“Abang, mana Muhammad?” soal Haslinda.
“Mana abang tahu…”
“Has tak nampak pun dia…” Haslinda mula cemas.
“Tadi kan dengan Has…”
“Memanglah, Has ingat dia dengan abang…”
“Mana ada…”
Muka Haslinda gelabah. Anak sendiri hilang, mana tak gelabah.
“Ummi!” panggil seorang anak kecil berusia lima tahun.
“Muhammad!” pantas Haslinda memeluk anak kecil yang pandai menyorok itu. Air mata syukur mengalir.
“Ummi nangislah Abbi…” kata Muhammad.
“Berdosa buat air mata seorang ibu mengalir…” kata Abbi.
“Ummi, Muhammad tak bersalah. Abbi yang minta Muhammad menyorok…” Kata anak kecil itu sambil berlari mendapatkan neneknya, Mak Haslinda.
“Abang ni…” Geram Haslinda.
“Ala, abang gurau je. Abang nak tengok sayang Has ni lebih pada abang ke atau pada Muhammad… tapi macam lebih pada Muhammad je.”
“Merajuk pula dah dia…”
“Cepatlah pujuk…” Danial menanti.
“Abang, abang ni cinta terakhir Has. Be last my love. Tak ada orang lain…” tersenyum Haslinda…
“Terima kasih. Abang pun sama…”
“Abbi! Ummi! Marilah! Nenek dah nak balik. Tak larat nak jalan!” panggil Muhammad dari jauh.
“Jom sayang!” ajak Danial.
“Jom…”

TAMAT akhirnya cerpen PERTAMA untuk tahun ini. Maaf la huru hara sangat. Mengambil masa 4 jam untuk siapkannya. Harap ada pengajaran sedikit dalam cerita kali ini. Setiap orang kelemahan dan kelebihan. Kelemahan yang kita ada jangan biarkan ia menjadi penghalang untuk anda menjadi seorang yang lebih baik. Jadi, sama-samalah kita berubah menjadi lebih baik supaya hidup lebih tenang dan ceria. Senyum sokmo!


5 comments:

jangan lupa komen...komen anda sangat bermakna bagi ria natsumi