Followers

Sunday, 23 August 2015

1
Komen

CALON SUAMI KE DUA bab 4

Salam...kita sambung lagi ke bab 4....semangat nak tahu apa yang jadi antara mereka berdua ni...jom jom baca...jangan lupa komen...terima kasih...

Bab 4
Ada seseorang yang berdehem membuatkan Khusnul Syakinah sedikit terkejut. Dia terus berpaling. Untuk kali ke dua dia terkejut dengan kehadiran lelaki itu.
Iqram tersenyum sinis. Merenung segenap wajah yang tanpa secalit mekap pun. Sangat cantik. Hatinya bergelora menahan perasaan. Sabar hati. Kau kan nak balas dendam. Sabar ye… Perempuan ni tak tahu hargai diri dan maruahnya. Ingat dendam kau, Iqram. Ingat!
Khusnul Syakinah buntu. Dia mahu melarikan diri tetapi pintu masuk ke pantry betul-betul di tempat Iqram berdiri.
Iqram menutup pintu pantry itu.
Makin berdebar hebat hati Khusnul Syakinah. Fikirannya terus menerjah peristiwa yang berlaku dalam bilik rawatan pada masa dulu.
“Kenapa kau tutup pintu tu? Baik kau buka!”
Sedikit keras suara Khusnul Syakinah. Dia tidak boleh lemah. Dia sudah belajar seni pertahanan diri teo kwan do tetapi ilmu itu bagaikan melayang jauh apabila melihat Iqram depan matanya.
“Aku tak nak buka...”
Iqram menahan ketawa dalam hatinya. Dia mahu menyeksa hati Khusnul Syakinah sedikit demi sedikit. Dia semakin menghampiri Khusnul Syakinah yang semakin kalut itu. Dia berpura-pura seperti mahu menyentuh wanita itu dengan mengerakkan sebelah tangannya. Senyuman sinis sentiasa di bibirnya.
Khusnul Syakinah perlu yakin dengan apa yang sudah dipelajarinya. Dia menarik tangan Iqram Aznan yang ingin menyentuhnya. Pada masa yang sama dia mencengkam kolar baju Iqram. Kemudian dia menarik sekuat hati tubuh lelaki yang agak besar itu menggunakan bahu kanannya dan menyelit kaki sehingga lelaki itu jatuh tersembam ke lantai. Nasib baik pantry itu agak luas. Tubuh Iqram rebah di situ. Semuanya berlaku terlalu pantas.
“Aduh...”
Iqram mengaduh sakit. Seluruh tubuhnya terasa sakit. Terlalu sakit. Rasa macam tulang nak patah pun. Mana minah ni belajar semua ni? Tergamak dia buat aku macam ni. Memang saja cari nahas ni.
Khusnul Syakinah membetulkan tudungnya. Dia sedikit lelah. Mungkin kerana tubuh Iqram Aznan agak besar. Hampir semua tenaganya digunakan untuk menjatuhkan lawannya itu. Dia mengambil dulang dan menyediakan dua cawan air lalu meninggalkan Iqram di situ. Dia terus menuju ke bilik Amar. Hanya Tuhan sahaja yang tahu begitu berdebar hatinya. Dia tidak percaya yang dia berjaya melakukannya.
“Siap kau nanti!”
Iqram bangun dari terus berbaring. Dia berdiri. Badannya terasa sakit akibat ‘smackdown’ yang dibuat oleh seorang wanita tudung labuh yang lemah lembut. Dia benar-benar rasa tercabar. Diurut perlahan belakang badannya.
“Sakit! Sengal punya minah!” rungut Iqram Aznan.
Badannya benar-benar rasa sakit. Rambutnya yang tersikat kemas kini sudah berserabut. Dia memandang cermin yang berada di pantry itu. Dia mengemaskan rambutnya semula. Selepas itu, dia segera kembali semula ke bilik Amar.
Ketika itu, Khusnul Syakinah baru sahaja menghidangkan air yang dibuat di atas meja. Sempat matanya merenung tajam pada Khusnul Syakinah.
Khusnul Syakinah cuba bertenang. Walaupun sebentar tadi dia sudah melakukan sesuatu yang di luar kawalannya tetapi dia benar-benar kalut. Dia akan rasa gelabah tiap kali pandangan Iqram menikam ke arahnya. Tetapi itu tidak boleh menjadi sebab dia nampak lemah. Dia harus kuat.
“Jemput minum encik,” ramah Khusnul Syakinah.
Sempat dia pamerkan senyuman mekar di bibir untuk majikannya yang baik hati itu. Dia senyum juga pada Iqram yang baru sahaja masuk itu. Itu adalah senyuman palsu. Dia sudah biasa senyum begitu. Dia tahu tidak baik senyum begitu tetapi apa kan daya dia tidak mampu tersenyum dengan seikhlas hati terutama untuk lelaki bernama Iqram Aznan.
Apabila bersama Amar, dia berasa tenang. Tambahan pula, dia sudah mengenali isteri Amar, Dyla. Isterinya seorang yang baik dan peramah. Dia selesa berkawan dengan pasangan suami isteri ini.
“Terima kasih, Khusnul,” ucap Amar. “Jumpa tak tandasnya?” soal Amar pada Iqram apabila melihat kelibat sahabatnya masuk tetapi dia pelik melihat wajah kerut itu.
“Jumpa, tapi ada cicak yang mengganas la. Sakit badan-badan ni aku rasa?”
“Cicak?”
Dahi Amar berkerut. Selama dia membuka perniagaan ini, tidak pernah dia jumpa cicak. Tambahan cicak yang mengganas? Apa kes cicak nak mengganas kat kedai aku ni?
“Ya, cicak!” Iqram masih menjeling arah Khusnul Syakinah.
“Khusnul, kamu pernah jumpa ke dengan cicak yang dimaksudkan oleh kawan saya ni?” Amar bertanya pada Khusnul Syakinah pula.
“Tak pernah pula,” jawab Khusnul Syakinah. Hampir meletus ketawanya.
Aku yang comel di katakan cicak? Aku tak nak jadi cicak. Aku nak jadi buaya ganas. Kalau ada gigi buaya ni, dah lama aku gigit kau sampai lunyai.
“Sudahlah! Jemput minum Iqram,” ajak Amar.
Ketika itu, Khusnul Syakinah ingin keluar. Makin lama dia berada di situ, makin panas pula dirasainya.
“Khusnul, tunggu sekejap. Boleh tolong saya tak?” panggil Amar apabila melihat Khusnul Syakinah ingin keluar.
Khusnul Syakinah kembali menghampiri meja Amar. Sempat dia menjeling Iqram yang sedang meneguk minuman yang dibuatnya. Serentak jelingannya itu, Iqram juga menjeling pada Khusnul Syakinah. Cuma dia sembunyikan jelingan itu di sebalik cawan tersebut dan hanya dilihat oleh Khusnul Syakinah seorang.
Dia tersentak. Dulang yang dipegangnya terlepas dari pegangannya kerana terkejut dengan jelingan mata yang amat tajam itu.
“Maaf...”
Khusnul Syakinah tunduk mengambil dulang di lantai. Semangatnya bagaikan melayang jauh. Dia sendiri tidak pasti ke mana semangat itu menghilang.
Iqram tersenyum. Tadi berani sangat buat smackdown kat aku. Ni baru jeling sikit, semangat dah lemah.
Sejak Iqram Aznan mengenali Khusnul Syakinah.  Banyak perubahan diri yang berlaku. Dari dulu memang dia tidak pernah minat untuk belajar tetapi Khusnul Syakinah tunjuk kepadanya betapa penting sebuah ilmu itu. Sejak itu dia banyak belajar dan belajar. Pelbagai ilmu pengetahuan yang dia pelajari. Selepas itu, dia menjadi minat belajar. Tetapi minatnya berterusan apabila Khusnul Syakinah menduakan dirinya. Perempuan itu bersama dengan lelaki lain. Dia benar-benar tercabar.
Iqram masih memerhati Khusnul Syakinah yang tidak memandangnya lagi.
“Encik Amar nak saya tolong apa?”
“Awak tolong fotostat ni?” Amar memberi beberapa helaian kertas. “Nanti dah siap. Hantar pada saya secepat mungkin.”
“Baiklah Encik Amar.” Khusnul Syakinah terus berlalu.
“Pekerja kau yang tu dah kahwin ke?”
Sengaja Iqram  bertanya begitu. Dia ingin tahu tentang kehidupan Khusnul Syakinah. Dia kena siasat latar belakang terbaru Khusnul Syakinah.
“Belum? Kenapa tanya?” soal Amar sambil tersenyum. “Jangan kata pada aku yang kau dah jatuh cinta dengan pekerja aku tu...”
“Bolehlah dikatakan begitu.” Iqram ketawa kecil. Sebenarnya dia sendiri tidak pasti dengan perasaannya. Cinta atau dendam?
“Dia susah sikit dengan lelaki?” Amar merenung wajah sahabatnya. Renungan yang serius.
“Maksud kau?”
Iqram begitu teruja untuk mengetahuinya.
“Tengoklah tadi. Aku ni bos dia pun, dia buat tak tahu je. Aku suruh buat air, dia buat. Aku suruh buat kerja fotostat pun dia buat tanpa banyak cakap. Itu pun mujur dia nak senyum. Kalau tak, payah! Ada pelanggan aku kata pekerja aku yang pakai tudung labuh ni sombong,” jelas Amar.
“Betul tu...” Iqram juga mengakui kata-kata Amar Qalish. Kalau orang tidak mengenalinya akan kata yang gadis ini sombong.
“Mungkin dia ada sejarah dengan lelaki kot...” teka Amar.
Iqram tersentak. Kata-kata itu bagaikan batu besar menghempas kepalanya atau pun kayu balak yang berusia lebih 100 tahun tumbang atas badannya. Sakit sangat!
“Sejarah dengan lelaki?”
Sengaja Iqram mengulangi kata-kata Amar agar hatinya sedikit tenang. Dia dapat meneka yang Khusnul Syakinah jadi begitu kerana perbuatannya dahulu.
“Hey kawan! Kau memang dah jatuh cinta dengan pekerja aku ke?” soal Amar lagi sekali.
Dia tidak percaya. Sahabat yang dikenali di universiti terkenal dengan sikap benci perempuan tetapi dengan Khusnul Syakinah, begitu mudah jatuh cinta. Dia jadi pelik.
“Nampaknya susah la aku nak mengorat dia...” Iqram tersengih. “Kau jaga dia untuk aku tau. Mak ayah dia ada lagi tak?”
“Ayah dia meninggal dunia masa dia nak SPM dulu. Mak dia masih ada lagi.”
Iqram tersentak mendengar kata-kata Amar. Ayah dia dah mati? Aku pasti pada hari yang aku nampak dia bersama lelaki tu... Hatinya kembali sakit.
“Serius pula muka kau ni.”
“Macam kau tak biasa je. Muka aku kalau tak berkedut empat belas, memang tak sah. Sebab itu juga ramai perempuan tak suka aku. Selamat sikit.”
Iqram terkenal dengan wajah yang serius. Dia jarang ketawa apatah lagi tersenyum. Kalau senyum pun, hanya senyuman sinis dan mengejek.
“Ya lah! Lupa pula!”
“Dia ada abang atau adik ke?” soal Iqram lagi.
“Dia ada seorang adik lelaki. Rasanya masih praktikal di sebuah syarikat dalam bidang pemasaran. Tahun akhir dah tu... dan kakak. Aku tak kenal sangat kakak dia.”
“Oh, macam tu.”
“Banyak yang kau tanya ni. Mesti dah jatuh hati sungguh-sungguh dengan perempuan tu.”Amar gedik. Dia gembira jika Khusnul Syakinah menjadi pilihan Iqram untuk dijadikan isteri.
“Semestinya. Gedik juga aku tengok kau ni. Kerja je dalam bidang Islamik, so peribadi tu biar Islamik juga.”
“Maksud kau?”
“Yalah! Kau dah ada isteri, jangan nak menggatal dengan perempuan lain. Biar aku seorang yang gatal dan miang dengan perempuan tu.” Iqram ketawa kecil.
“Okey Bro! Aku tak kacau perempuan yang kau suka tu.”
“So, apa kes datang ke pejabat aku ni?” Barulah mereka berbincang perkara penting setelah berbual hampir sejam.
“Aku nak tolong seorang kawan kita nak kahwin ni...”
“Siapa?”
“Daniel Saufyan...”
“Oh, penyiasat sendirian tu!” Amar ketawa kecil.
“Ya. Dialah. Dah nak kahwin. Aku cadang nak sponsor kad jemputan dia sebagai hadiah perkahwinan mereka.” Iqram Aznan menjelaskan tujuan sebenar dia ke mari.
“Oh, tiada masalah. Baik pula kau ni kan?” Amar tersengih.
“Aku memang baik. Kau baru tahu ke?” Iqram membuat muka serius.
Amar mencebik. Akhirnya mereka berdua ketawa gembira.
Khusnul Syakinah mengetuk pintu bilik Amar.
“Masuk...” arah Amar dari dalam.
Iqram tersentak melihat wajah Khusnul Syakinah. Muncul lagi minah ni! Dia tidak berpuas hati dengan cara kehadiran perempuan itu.
“Maaf encik Amar. Mesin fotostat tadi buat hal. Jadi lambat sikit. Ini kertasnya.” Khusnul Syakinah menghulurkan beberapa keping kertas.
“Tak apa.”
Khusnul Syakinah terus keluar tanpa melihat wajah Iqram.
“Aku rasa dia tak suka kau la, Iqram.” Teka Amar sambil berbisik.
“Ye kot!” Iqram mengaku sahaja. Siap kau lepas ni!
Khusnul Syakinah mengerakkan tangannya di dada. Hatinya berdebar kencang. Segera dia melangkah ke stor iaitu tempat dia berehat. Dia tidak akan keluar dari bilik tersebut. Dia tidak mahu berjumpa dengan Iqram lagi.
“Aku benci dia. Kenapa dia muncul dalam hidup aku semula?”
Khusnul Syakinah cuba bertenang. Apabila dia melihat Iqram, pasti perasaan terkilan tentang kematian ayahnya akan terasa.
Dia tidak suka perasaan itu. Pasti sukar untuk dia menghilangkan perasaan kecewa dan terkilan itu. Terkilan tidak dapat berjumpa dengan ayah untuk kali terakhir. Memohon maaf pada lelaki yang banyak berjasa pada dirinya. Air matanya mengalir. Tiap kali teringatkan arwah pasti air matanya akan menemaninya. Walaupun peristiwa itu sudah tujuh tahun berlalu. Kini, umurnya sudah dua puluh empat tahun.
Dia memejamkan matanya rapat-rapat. Dia berharap sedikit kekuatan meresap dalam hatinya. Dia kena kuat kerana Puan Siti masih ada walaupun ibu tirinya membenci padanya. Adik lelakinya juga masih praktikal. Kesabaranlah yang harus dia tanam dalam lubuk hatinya.
Iqram tidak menyangka perempuan yang dicari selama ini bekerja di kedai Amar. Kalau aku tahu, aku dah cari dia kat sini.
“Kau dah tak boleh lari dari aku, Khusnul Syakinah… Tak boleh!” Iqram mengambil keputusan untuk menunggu Khusnul Syakinah balik dari tempat kerja. Pukul 5 petang. Kejap lagi la tu.
Tiba-tiba Iqram teringat akan mimpinya bersama Khusnul Syakinah. Begitu indah tetapi dia menidakkan perasaan itu.
“Abang, abang nak makan, saya suapkan?” kata Khusnul Syakinah.
“Bertuahnya abang memiliki sayang sebagai isteri abang…”
Klinnggg!
Masa tu la juga jam loceng aku berbunyi. Selama ini tak pula dia berbunyi awal. Masa aku mimpi indah juga dia mahu menyedarkan aku.
Akhirnya Iqram menunggu sahaja Khusnul Syakinah habis kerja.


KESEDIHAN dan ketakutan Khusnul Syakinah masih terasa walaupun waktu kerja sudah lama tamat. Sengaja dia berlama-lama di surau tempat kerjanya. Semasa dia keluar dari surau tersebut, tempat bahagian lelaki pun ada seseorang.
“Encik Amar...”
“Khusnul...” Amar terkejut dengan kehadiran perempuan itu. “Kenapa tak balik lagi ni?”
“Beribadah encik Amar...” kata Khusnul Syakinah. “Encik, boleh tak saya minta cuti sehari. Jiwa saya tak tenang. Bercelaru. Saya tak dapat nak fokus pada kerja,” jujur Khusnul Syakinah.
“Ada apa-apa yang mengganggu fikiran awak?”
Amar cuba mengorek rahsia. Dia ingin sekali menyelami hati Khusnul Syakinah sebagai majikan dengan pekerja.
“Saya terkenang arwah ayah saya. Tambahan pula, saya rasa mahu demam.” Khusnul Syakinah menundukkan wajahnya. Menyembunyikan segala rahsia di matanya.
Amar mengeluh. Dia akui yang wajah pekerjanya sedikit pucat. Dia tidaklah kejam sangat tidak membenarkan pekerjanya bercuti. Jika benar-benar tidak sihat, dia akan berikan cuti.
“Baiklah!” Amar setuju luluskan cuti Khusnul Syakinah.
“Terima kasih, encik Amar.”
Mereka berdua berpisah di situ. Selepas mengambil beg tangannya, Khusnul Syakinah menunggu di perhentian bas. Kebiasaannya Sofea yang mengambil dia kerja tetapi hari ini, sahabatnya ada urusan kerja yang tidak dapat dielakkan. Dia terus menunggu dengan sabar. Tiba-tiba ada sebuah kereta betul-betul berhenti di depannya. Tingkat kereta itu diturunkan perlahan. Dia pura-pura tidak nampak.
“Oi!”
Geram Iqram apabila melihat Khusnul Syakinah tidak mempedulikan dirinya. “Khusnul Syakinah!” panggilnya lagi. Lebih kuat daripada tadi.
Khusnul Syakinah tersentak apabila namanya dipanggil. Dia tergamam melihat si pemanggilnya. Kenapa dia ada kat sini? Nak kacau hidup aku lagi ke?
“Naik kereta ni!” arah Iqram.
Khusnul Syakinah masih terkaku. Dia gelisah.
Iqram melihat cermin kereta belakangnya. Dari jauh dia nampak sebuah bas. Dia tidak mahu Khusnul Syakinah naik bas tersebut.
“Aku cakap naik kereta aku, kalau tak...” Sengaja Iqram membuat Khusnul Syakinah tertanya-tanya.
“Kalau tak apa?”
Berani Khusnul Syakinah. Hatinya berdebar hebat usah dikata. Mahu terkeluar pun ada tiap kali berhadapan dengan lelaki ini. Dia memang tidak kuat.
“Aku gagalkan adik kau praktikal memandangkan dia bekerja di syarikat aku!” ugut Iqram Aznan. Idea itu muncul tiba-tiba di benak fikirannya. Dia sendiri tidak tahu siapa adik Khusnul Syakinah dan nama apa.
Khusnul Syakinah mengeluh berat. Akhirnya dia masuk ke dalam kereta Iqram dengan rasa berat hati.

Kereta itu terus memecut di atas jalan raya meninggalkan perhentian bas tersebut. Khusnul Syakinah hanya memandang cermin sisinya melihat semakin jauh kereta yang dinaikinya meninggalkan bas yang baru sahaja tiba di situ.

1 comment:

jangan lupa komen...komen anda sangat bermakna bagi ria natsumi