Salam...ingatkan nak update semalam tapi tak sempat sebab tengok pelajar saya buat latihan pembarisan untuk hari sukan. so, meh kita sambung baca bab tujuh pula...
Bab 7
Khabar berita ada orang melamar Khusnul Syakinah terus tersebar ke pendengaran Puan Siti.
Dia menjadi makin aneh. Memang dia akui yang Khusnul Syakinah banyak membantu
keluarganya sejak suaminya meninggal dunia. Membenci anak tirinya itu? Mungkin
tiada tetapi egonya tiap kali berhadapan dengan Khusnul Syakinah. Dia tidak
dapat berlagak baik dengan anak itu.
“Hari
itu, Sya baru kena lamar dengan Khair tetapi dah ada lelaki lain pula
melamarnya? Dia guna ilmu apa ni? Ilmu penunduk ke? Sekarang dah ada dua calon
suami.”
Puan
Siti buntu memikirkannya. Anak aku, Saidah tu, tak ada pula yang nak buat
menantu ke? Tak ada harapan langsung anak aku tu. Buat hal dan memalukan aku,
ada la. Geramnya.
“Ibu!”
Saidah
pulang ke rumah.
Panjang
umur betul anak aku ni. Baru aje aku sebut nama dia, dah muncul depan rumah
aku. Mesti balik nak minta duit. Dia ingat aku kerja sampai ada duit? Semua ini
harapnya dengan duit gaji Sya sahaja. Puan Siti merenung tajam anak
perempuannya.
“Aku
ingat… Kau dah tak ingat nak balik rumah buruk ni.”
Sinis
Puan Siti. Dia memang tak suka dengan perangai anaknya yang suka sangat
bersosial. Tak ingat agama langsung. Beza sungguh dengan Khusnul Syakinah yang
sentiasa menutup aurat. Katanya…
“Aurat
itu bukan kadar di jasad. Aurat itu juga di nurani dan akal fikir. Jika kita
menutup aurat, insya-Allah akan dilindungi-Nya.”
Itulah
nasihat yang pernah Khusnul
Syakinah berikan kepada Saidah tetapi apa yang gadis
itu dapat, hanya tamparan yang hebat oleh anaknya sendiri. Dia sendiri tidak
dapat menasihati Saidah tetapi Khusnul Syakinah berani kerana benar.
“Ibu
ni, Saidah pun anak ibu kan?”
Suara
Saidah yang kuat itu membuatkan ingatan Puan Siti pada kenangan lalu
berterbangan.
“Memang
kau anak aku. Kau balik ni, kenapa?” Kalau ikutkan perut ibu mengandung, aku
tak mengaku Saidah ni anak aku. Tapi hakikat itu tidak mungkin akan berubah.
Dia tetap anak yang aku kandung. Aku lahirkan.
“Ibu,
nak duit!” Tinggi nada suara Saidah.
Ketika
itu, Khusnul Syakinah baru pulang dari tempat kerja. Terkejut melihat
kepulangan Saidah. Pakaian kakak tirinya tidak pernah berubah. Mesti skirt
pendek dan baju ketat. Kulitnya yang gebu dan cantik itu diperlihatkan kepada
orang yang tidak sepatutnya.
“Kau
tak payah nak tengok aku macam tu! Aku cucuk mata kau nanti!”
Geram
Saidah. Dia tahulah Khusnul Syakinah alim tapi jangan tarik dia untuk pakai
macam dia. Dia tak nak.
Pantas
Khusnul Syakinah tundukkan wajahnya. Dia berdiri di belakang Puan Siti.
Walaupun dia tahu Puan Siti tidak menyukainya tetapi ibunya itu tidak akan
memarahinya tanpa sebab.
“Kalau
kau balik nak minta duit, bukan kat sini! Aku tak ada duit!”
Puan
Siti tidak memang wajah Saidah. Anak itu harapannya semasa kecil. Segala
permintaan anaknya itu akan ditunaikan. Tidak pernah dia rasa ada yang kurang
berbanding dengan Khusnul Syakinah. Anak tirinya sering di sisihkan sedangkan
dia hanya meminta satu perkara. Kasih sayang. Khusnul Syakinah tak nak
duit. Dia mahu kasih sayang sahaja. Betapa murni hati anak itu.
Yang
aku puji lebih-lebih anak madu aku ni, dah kenapa? Menyampah pula Puan Siti
rasa.
“Aku
nak duit juga! Aku nak duit!” Saidah bercakap dengan nada lagi kuat dari tadi.
Kemahuannya harus dituruti.
“Aku
tak ada duit!”
Puan
Siti pula membalas dengan jeritan. Dia sudah tidak tahan dengan sikap dan
perangai anaknya yang sudah tidak boleh dikawal lagi.
“Aku
tahu! Mesti ada dalam bilik ibu.”
Segera
Saidah menuju ke bilik Puan Siti. Dia menyelongkar semua tempat. Dia mahu beli
dadah. Dia sudah ketagih benda yang tidak baik itu.
“Hentikan
Saidah! Ibu cakap, tak ada. Memang tak ada!” rayu Puan Siti. Tidak sanggup dia
melihat biliknya disepahkan oleh Saidah.
“Kalau
macam tu, jual rumah pusaka nenek ni!” Saidah di luar kawalan lagi.
Air
mata Puan Siti mengalir. Sedih melihat anaknya itu. Mereka hanya tinggal di
rumah pusaka arwah emaknya sahaja. Rumah ini satu-satunya harta yang dia ada.
“Tidak!
Aku tak kan jual!” Suara Puan Siti kembali tegas. Mendengar perkataan jual
membuat marahnya membara. Saidah benar-benar melampau.
“Peduli
apa aku!”
Saidah
mencari geran tanah pula. Dia yakin ada di laci ini. Akhirnya dia jumpa. Puan
Siti terperanjat melihat geran tanah ada di tangan Saidah segera menghampiri
anaknya itu. Mereka berdua bergelut.
“Bagi
aku!”
Khusnul
Syakinah tidak tahu mahu buat apa. Dia hanya memerhati sahaja. Sedang bergelut,
tiba-tiba beg tangan Saidah tercampak ke atas lantai. Bersepah barang-barang
Saidah.
“Apa
ni” Puan Siti terkejut. Apa yang dia nampak jarum suntikan. Terus jantungnya
berdegup lebih kencang.
“Kau
hisap dadah? Kau nak beli dadah rupanya. Anak bertuah!” Tangan Puan Siri terus
melayang tepat ke pipi Saidah.
Pang!
“Ibu,
sabar!” Khusnul Syakinah terpaksa campur tangan. Dia memeluk tubuh Puan Siti
dari belakang.
Saidah
terduduk di lantai. Pipinya terasa perit. Tamparan Puan Siti memang menyakitkan.
Dia tidak akan kembali ke sini lagi. Dia akan tinggalkan rumah ini. Dia akan
pergi jauh. Ibu dah tak sayang aku!
“Kau
bukan anak aku lagi. Kau keluar dari rumah aku! Keluar sekarang!”
Arah
Puan Siti. Dadanya rasa sakit. Sakit dengan sikap anaknya. Dia akui yang
didikan agama dia ambil mudah apabila melibatkan Saidah. Dia sering kali berkata
‘Nanti Saidah besar, pandailah dia agama’. Tidak! Didikan aku salah. Didikan
agama perlu diterap sejak kecil lagi. Sejak dalam rahim aku lagi. Aku lupa
semua itu.
“Sabar
ibu…” pujuk Khusnul Syakinah.
“Kau
diam Sya! Kau je harapan aku sekarang ni! Kau jangan nak buat masalah. Kakak
kau ni tak boleh diharap lagi.”
Marah
Puan Siti. Betul! Hanya Khusnul
Syakinah yang boleh dia harapkan dan anak lelakinya, Khairul. Tetapi Khairul
masih muda. Belajar pun tidak habis lagi.
“Ibu,
Sya tak kan diam. Selagi Sya bernyawa, Sya akan tolong kak Saidah untuk
berubah.” Tegas Khusnul
Syakinah.
Puan Siti terdiam.
Air
mata Saidah mengalir. Tulus hati Khusnul Syakinah. Dia rasa malu sangat.
Sebenarnya dia teringin sangat mahu berubah tetapi apabila melihat tindakan
keluarga kawan-kawannya yang menghalau mereka apabila mengetahui perkara
sebenar membuat dia takut. Dia tidak yakin. Dia tidak mahu berubah. Dia
perlukan sokongan iaitu sokongan keluarganya sendiri.
Puan
Siti memandang Saidah dengan hati yang sayu. Dia juga rasa sedih dengan
perubahan Saidah yang sanggup kurang ajar padanya.
“Ibu,
memang kak Saidah banyak buat salah. Kalau bukan kita yang bantu, siapa lagi
ibu…”
Khusnul
Syakinah menahan getaran suaranya. Dia tidak akan membiarkan saudaranya sendiri
terus lalai dalam dunia ni.
Jika
aku mahu masuk syurga, aku juga mahu keluargaku turut masuk syurga. Tidak akan
aku tinggalkan mereka tergapai seorang diri. Aku sedar diri aku bukan baik
sangat tetapi jika kita hidup dengan rasa ikhlas dengan semua perkara,
insya-Allah. Pencipta kita akan bantu kita. Mungkin bukan sekarang. Tidak di
dunia, mungkin di akhirat.
“Saidah…”
Puan
Siti memeluk anak perempuannya. Mengalir lagi deras air matanya.
“Ibu,
Saidah nak berubah. Saidah nak jadi macam Sya. Ibu bantulah Saidah! Bantu
Saidah ibu!” rayu Saidah. Barulah dia ada kekuatan untuk meluahkan segala yang
terbuku di hati. Dia yakin yang Khusnul Syakinah akan membantu dirinya.
“Ibu
akan bantu! Ibu akan sokong anak ibu.”
Khusnul
Syakinah berdiri. Berdiri dari jauh dengan air mata yang mengalir. Dibiarkan
sahaja air mata itu terus mengalir.
Kalau
ibu sudi peluk aku begitu, pasti aku juga akan tenang dengan segala masalah
yang menimpa aku. Aku rindukan pelukan seorang ibu. Aku hanya anak yatim piatu.
Tiada tempat mengadu kecuali Allah yang Satu.
“Terima
kasih ibu…”
Makin
erat pelukan Puan Saidah mendengar kata-kata anaknya. Khusnul Syakinah sudah
menyedarkan anaknya. Apabila dia memandang Khusnul Syakinah, gadis itu sudah
mahu berlalu pergi. Kasihan Sya.
“Sya….”
Panggil Puan Siti. “Terima kasih Sya…” ucapnya. Dia menarik Khusnul Syakinah
dalam pelukannya. Dua anaknya di peluk erat. Dua anaknya! Dua anak perempuannya.
Tiada beza mereka berdua. Mereka tetap anaknya.
“Ibu!”
Bersungguh-sungguh
Khusnul Syakinah menangis.
Inilah! Inilah kasih sayang yang paling aku dambakan atas dunia ni. Kasih
sayang seorang ibu. Aku rindukannya, Ya Allah. Terima kasih Ya Allah. Atas
kurnia-Mu. Makin deras air matanya mengalir.
Saidah
di hantar ke pusat pemulihan di sebuah tempat. Dia ditinggalkan di situ untuk
belajar agama dan motivasikan diri untuk terus hidup atas jalan yang betul.
Dari
jauh, Puan Siti melihat Saidah menangis. Berat hatinya mahu meninggalkan Saidah
di situ tapi apa kan daya, anaknya itu perlu berada di situ untuk perubahan
yang lebih baik. Dia tersenyum dalam tangis.
Teksi
yang dinaiki mereka berdua terus memandu meninggalkan pusat pemulihan tersebut.
Khusnul
Syakinah pun rasa berat hati. Dia berdoa …
Semoga
akak Saidah berubah menjadi seorang Muslimah yang baik dan beriman. Amin. Dia
tersenyum.
“Tak
payah kau nak tersenyum. Aku dah bincang dengan Saidah, kau kena kahwin,” kata Puan
Siti dengan tiba-tiba.
Kata-kata
itu seperti mencekik leher Khusnul Syakinah. Kenapa soal kahwin pula yang
timbul ni? Aku tak faham la. Ibu dah kenapa ni? Sihat tak?
“Kenapa
ibu? Kahwin?”
“Jangan
pura-pura tak tahu. Calon suami kau yang pertama tu, Khair namanya, asyik kacau
aku je. Tak larat aku nak layan. Calon suami kau yang ke dua ni, aku tak kenal
sangat. Suruh dia datang jumpa aku. Aku nak tengok lelaki mana yang sesuai
dengan anak aku ni.” Puan Siti memandang Khusnul Syakinah dengan senyuman yang
ikhlas.
Anak
aku? Entah mengapa hati Khusnul
Syakinah rasa sejuk mendengar kata-kata Puan Siti.
Ibu dah boleh terima aku sebagai anak dia ke? Betul ke ni?
“Sya
tak nak kahwin lagi la ibu.” Bantah Khusnul Syakinah. Dia benar-benar tidak
bersedia untuk berkahwin. Melayan suami? Itu yang paling dia menggerunkan.
Tambahan pula, dengan kes traumanya bersama Iqram. Makin gila dia rasa.
“Dah
ada orang melamar tu, kahwin aje la. Ingat, kalau nak kahwin, kahwinlah dengan
lelaki yang bersungguh-sungguh nak kan kita, bukannya kita yang bersungguh nak
kat dia. Faham tak?” Puan Siti memberi nasihat.
“Ya.
Sya faham ibu tapi…”
“Tak
ada tapi-tapi. Siapa nama lelaki yang calon suami ke dua tu?” soal Puan Siti
lagi. Dia memandang wajah Khusnul Syakinah yang seperti keberatan mahu
memberitahunya.
“Iqram…”
“Kerja
apa?”
“Tak
tahu…”
“Umur
berapa?”
“Tak
tahu…”
“Mak
ayah dia masih ada ke?”
“Tak
tahu…”
“Anak
nombor berapa?”
“Tak
tahu…”
Puan
Siti mengeluh mendengar jawapan dari mulut Khusnul Syakinah. Semua tak tahu ni?
Kenal ke tidak ni? Sya macam tak suka sahaja.
Sebenarnya
Khusnul Syakinah malas mahu memikirkan tentang Iqram. Apabila teringat tentang
Iqram, pasti hatinya sakit. Pertama sebab kes trauma itu. Ke dua, kes mengenai
Sofea. Disebabkan mulut Iqram yang tak ada insurans itu menyebabkan sahabat
baiknya benci padanya. Agak-agaklah nak melamar aku. Ingat aku ni apa.
“Sya,
siapa pun dia, Sya kena kenal dia. Mulai malam ni, buat solat istikharah. Dua
bulan lagi ibu nak Sya kahwin. Tak kisah siapa pun pilihan Sya. Ibu terima.
Khair atau Iqram…”
Khusnul
Syakinah hanya mampu tersenyum.
Sejak
peristiwa di hospital tempoh hari, Iqram tidak lagi muncul dalam kehidupan
seharian Khusnul Syakinah. Dia rasa tenang dan bahagia. Cuma… Matanya memandang
lelaki yang setia menunggu di luar pejabat tempat dia bekerja. Khair. Lelaki
itu setia menunggu dan mengambilnya bekerja setiap hari.
Yelah!
Sofea sudah benci pada aku. Sofea tak nak kawan dengan aku…
Air
matanya ingin mengalir. Mana mungkin dia tidak rasa sedih. Mesti sedih sebab
Sofea kawannya sejak pada zaman persekolahan lagi.
“Tak
balik lagi ke?” Amar menegur Khusnul Syakinah.
“Nak
balik la ni…” Khusnul Syakinah sudah bersiap dengan beg tangan di bahunya.
“Saya balik dulu bos. Assalamualaikum…” Dia menolak cermin kaca dan
lambat-lambat berjalan ke arah yang bertentangan dengan Khair.
“Sya!”
panggil Khair. Dia panggil sebab anggap mungkin Khusnul Syakinah tidak nampak
dia berada di sini. “Jom aku hantar kau balik.”
“Tak
apa, Khair. Aku boleh balik sendiri. Aku kan ada kaki ni. Boleh berjalan lagi.”
Elak Khusnul Syakinah. Dia sendiri tiada alasan untuk mengelak diri daripada
Khair. Dia terus berjalan tanpa mempedulikan Khair.
“Tunggu
dulu! Tunggu!” Khair menghalang langkah Khusnul Syakinah dengan tubuhnya sambil
ke dua belah tangannya di angkat sama tinggi dengan aras telinganya. “Aku ada
benda nak cakap dengan kau…”
“Apa
dia? Cakaplah cepat sikit. Aku kena balik awal ni.” Entah mengapa dia jadi
tidak selesa jika bersama Khair. Dulu lelaki ini bukan jenis yang kuat memaksa
walaupun tiap-tiap hari dia menyibuk di sisinya.
“Kau
dah berubah, Sya. Kau dah tak macam dulu.” Nada suara Khair berubah. Lembut dan
menusuk kalbu Khusnul Syakinah. Khair nampak akan perubahan Khusnul Syakinah
sejak peristiwa di tempat letak kereta hospital tempoh hari.
Khusnul
Syakinah menelan air liur. Dia pun sedar akan dirinya yang dingin terhadap
Khair tapi sikap lelaki itu sudah melampau. Walaupun apa yang dikatakan oleh
Iqram sangat menyakitkan hati, dia harus kawal kemarahannya. Bukannya bergaduh.
Gaduh bukanlah satu jalan penyelesaian yang baik.
Itu
yang dia pelajari dalam cerita korea ‘City Hunter’. Walaupun tak banyak
pengajaran dalam cerita itu tetapi satu pengajaran ini dia boleh terima. Gaduh?
Dendam? Itu hanya memusnahkan diri sendiri. Kita ada undang-undang. Biar
undang-undang selesaikan semua kes. Bukannya kita yang pandai-pandai menghukum
orang tersebut.
Tapi
dalam kes aku, undang-undang terlibat ke? Krik! Krik! Krik!
Memang
Iqram bersalah dalam hal ini tetapi itu hak dia walaupun kata-kata itu
menyakitkan hati Khusnul Syakinah.
“Mana
ada aku berubah. Cuma aku suka duduk di rumah. Ibu aku pun dah boleh terima aku
kembali. Aku gembira sangat. Jadi, aku sibuk melayan kerenah ibu aku yang sangat aku
sayang. Kau tahu kan betapa aku sayang ibu aku itu. Aku dambakan kasih sayang
dia.”
Khusnul
Syakinah memandang Khair untuk seketika. Lama mereka berdua berdiri di situ.
“Kalau
macam tu, benarkan aku hantar kau pulang. Hari ni je. Lepas ni, aku tak ganggu
kau masa balik.” Khair mengalah. Dia tetap mahu menghantar Khusnul Syakinah balik.
Itu yang diharapkan.
Khusnul
Syakinah gelisah. Dia serba salah mahu menerima pelawaan Khair. Selalunya pasti
ada Puan Siti atau Sofea. Ligat otaknya berfikir untuk mencipta alasan.
“Macam
ni la, Khair. Aku bukan tak sudi nak naik kereta dengan kau tapi kita berdua
je. Aku tak suka la. Kau faham kan?” Berbelit-beli lidah Khusnul Syakinah
menerangkannya.
“Maksud
kau?” Dahi Khusnul Syakinah berkerut.
“Maksud
aku… Apabila perempuan dan lelaki berdua sahaja, pasti yang ke tiga itu
syaitan…”
Khusnul
Syakinah tersengih.
“Okey.
Fine!” Tinggi nada suara Khair. Jelas sekali wajah Khusnul Syakinah terkejut
dengan kata-katanya. “Aku teman kau naik bas. Macam mana…”
“Tak
payah la. Kau kan dah ada kereta, buat apa nak naik bas. Kau ni ada masalah
ke?” Khusnul Syakinah makin gelisah berada di sini. Dia perlu segera ke
perhentian bas sebelum semua bas lalu. Kang tak pasal-pasal aku terpaksa balik
naik teksi pula. Teksi kan mahal.
“Memang
aku ada masalah.” Giliran Khair pula tersengih.
“Ikut
suka kaulah!” Khusnul Syakinah berjalan dahulu. “Kau jangan menyesal naik bas
dengan aku.” Pesannya lagi.
“Nak
menyesal apa. Dengan adanya kau di sisi aku. Ke mana sahaja aku sanggup
redahi…”
Penuh
yakin Khair berkata. Dia tidak tahu apa yang bakal dihadapinya. Janganlah bercakap
besar.
“Walaupun
lautan manusia dengan pelbagai bau?”
Khusnul
Syakinah menduga. Dia tersenyum dalam hati. Ada yang Khair tak pernah tahu
mengenai sebuah bas di waktu petang.
“Apa
tu? Biasanya orang kata, lautan api…”
“Lautan
api tu di neraka. Kalau cukup iman, cukup amalan dan sedekah. Tak perlu nak
redah lautan api tu. Insya-Allah, akan dipermudahkan jalan kau nanti.” Nasihat
Khusnul Syakinah.
Lagi
sekali Khair tersengih.
Kini,
mereka berdua berada di perhentian bas. Menunggu bas dengan sabar. Khair rasa
bahagia sebab dia boleh bersama Khusnul Syakinah.
Khusnul
Syakinah pula rasa bersyukur sebab di perhentian bas itu, bukan sahaja dia dan
Khair, malah ada beberapa orang wanita yang juga sedang menunggu bas di situ.
“Bas
dah sampai…” kata seseorang.
Mereka
turun ke jalan, menanti bas berhenti.
“Bas
dah sampai…” Khair berkata. Sebentar tadi pandangannya asyik melihat wajah
Khusnul Syakinah. Kini, pandangannya jatuh pada sebuah bas.
“What the hell?” Matanya terbeliak.
0 kata kau:
Post a Comment
jangan lupa komen...komen anda sangat bermakna bagi ria natsumi